Ads Top

Sam Bunkface & Inteam Tampil Dengan Kolaborasi Istimewa Menerusi Lagu Mencari Sinar

Selepas projek kolaborasi lagu Jangan Menghina yang menggabungkan Inteam, Alif Satar dan Nocturnal Voice pada tahun 2016, Smileyriver Online (Smileyriver) sekali lagi menggabungkan dua nama besar dari dua genre berbeza iaitu pop nasyid dan punk rock menerusi kolaborasi Inteam dan Sam Bunkface.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, Mencari Sinar membawa mesej ‘penghijrahan’ dan dilancarkan bersempena Ramadan iaitu bulan penuh rahmat dan keampunan.

“Mencari Sinar merupakan sebuah karya baharu yang mana melodi dan lirik asalnya ditulis oleh Allahyarham Ahmadi Hassan. Allahyarham, adalah penyanyi era 70-80an yang banyak menghasilkan lagu-lagu dakwah dan lagu adalah salah sebuah karya terakhir Allahyarham yang belum pernah dirakam sebelum ini. 

“Istimewanya, ia merupakan satu-satunya karya ciptaan Allahyarham yang diselitkan elemen rap di dalamnya. Bagaimanapun, bagi mengukuhkan lagi mesej yang terkandung di dalam lirik, Sam Bunkface telah membuat improvisasi pada rangkap rap lagu ini,” jelas kenyataan tersebut. 

Bagi mewujudkan kelainan serta keseimbangan kepada genre dan mood lagu, Smileyriver telah mendapatkan khidmat Sam Bunkface sebagai penyusun muzik, di mana Sam turut bekerjasama dengan Epul Kuat bagi tugas ini. Mencari Sinar turut menampilkan Fauziah Gambus sebagai pemuzik jemputan.

“Mesej lagu Mencari Sinar adalah relevan untuk semua golongan dan peringkat umur, namun bagi menarik minat golongan muda, Smileyriver perlu memikirkan jalan terbaik agar mesej lagu ini sampai kepada mereka. 

Inteam dan Sam Bunkface mempunyai niche tersendiri, selain mempunyai fan base yang besar. Gabungan dua artis muda dari dua genre dapat membantu menyebarkan mesej lagu ini dengan lebih meluas dan berkesan,” jelasnya. 

Dinilai daripada karya-karya Sam sebelum ini, Smileyriver berpendapat bahawa Sam menitikberatkan mesej yang disampaikan dalam setiap lirik beliau. 

Lagu Akhir Zaman contohnya, memberi gambaran jelas bahawa Sam sangat serius mahu menyampaikan mesej melalui lagu.

Mencari Sinar mula berada di semua platform digital pada hari Jumaat bersamaan 9 April 2021. – KopiPlanet.com

The post Sam Bunkface & Inteam Tampil Dengan Kolaborasi Istimewa Menerusi Lagu Mencari Sinar appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.