Ads Top

Konsert Rossa ‘Here I Am’ Janjikan Sebuah Persembahan Mega, Bakal Beri Pengalaman Mengujakan

Di sebalik tubuh kecilnya, tersimpan semangat dan kekuatan luar yang biasa yang membuatkan beliau terus utuh berdiri meskipun terpaksa mengharungi pelbagai onak dan duri rintangan sepanjang hampir tiga dekad perjalanan kariernya.

Semangat dan kekuatan yang ada dalam dirinya itu menjadi pemacu yang menggerakkan perjalanan konsert “Here I Am” yang bakal dilunaskan Ratu Pop Indonesia, Datuk Sri Rossa Roslaina di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun 2025.

Tidak sekadar meraikan 29 tahun perjalanan luar biasa karier seninya, konsert “Here I Am” juga menjadi kesinambungan daripada kejayaan siri konsert terdahulu iaitu Rossa 25 Shining Years pada 2022 dan Another Journey: The Beginning (2023) yang menarik lebih 80,000 penonton di tiga negara.

“Here I Am” kata Rossa bukan sekadar sebuah persembahan, malah turut menjadi manifestasi kepada mereka yang menghargai karyanya supaya lebih menghargai dan mencintai diri.

“Secara peribadi, saya ingin mengajak pendengar yang menikmati lagu-lagu nyanyian saya untuk menerima keadaan diri tanpa rasa rendah diri, selain menghargai dan mencintai diri.

“Sebagai penyanyi, “Here I Am” menjadi penanda aras perjalanan karier saya dengan merangkumkan lagu-lagu hits, album, pencapaian dan konsert yang telah saya lunaskan sepanjang bergelar anak seni,” katanya.

Konsert “Here I Am” dianjurkan Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production dengan kerjasama promosi dan pemasaran dari SAH Entertainment turut mendapat sokongan Maybank sebagai Rakan Perbankan Strategik dan Sunway Putra Hotel Kuala Lumpur sebagai Rakan Penginapan.

Menyuntik elemen moden dan ekstravaganza, Rossa berkata, konsert “Here I Am” menjanjikan sebuah persembahan yang mega, segar dan terkini menerusi pelbagai segmen sepanjang tiga jam berlangsung.

Katanya lagi, “Here I Am” juga menjadi manifestasi kekaguman dan penghargaannya terhadap bakat seni serumpun apabila turut mengundang rakan senegara dan penyanyi dari Malaysia untuk bersama-sama beraksi pada malam bersejarah itu nanti.

“Kesediaan penyanyi seperti Ariel Noah dan juga bakat hebat dari Malaysia seperti Ernie Zakri dan MK K-Clique untuk turut bersama-sama dalam konsert ini pastinya bakal memberikan pengalaman yang mengujakan.

“Saya belum pernah berkolaborasi dengan Ernie dan MK, lantas peluang berharga ini amat saya nantikan. Kerjasama ini membuktikan muzik itu tiada sempadan dan pastinya akan ada beberapa lagi kejutan yang bakal memberikan kepuasan luar biasa kepada mereka yang datang ke konsert ini nanti,” katanya.

Silaturrahim yang terjalin sejak lebih dua dekad lalu membawa Rossa kembali ke Kuala Lumpur pada Ramadan ini bagi menyempurnakan acara Iftar Bersama Dato’ Sri Rossa yang berlangsung di Ballroom 2, Sunway Putra Hotel.

Pada acara itu, Rossa bersama PRIHATIN turut meraikan anak-anak dari Rumah Bakti Nur Syaheera, Cheras, Kuala Lumpur dengan memberikan sumbangan berupa pakaian, duit raya dan barangan keperluan harian.

Mengulas perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Aizuddin Ghazali berkata, beliau terharu dengan keprihatinan Dato’ Sri Rossa yang berbesar hati untuk menjayakan aktiviti kebajikan di negara ini.

“Sejak tahun 2012 lagi, kami sentiasa bekerjasama menerusi penganjuran konsert yang bukan bersifat komersial semata-mata. Untuk konsert “Here I Am”, Rossa bersetuju untuk bersama-sama mencari dana bagi tujuan pendidikan dan kebajikan menerusi jualan tiket seterusnya menyalurkan sebahagian hasil jualan ke Tabung Kasih Prihatin.

“Sehubungan itu, PRIHATIN mengalu-alukan pihak korporat dan individu perseorangan untuk membeli tiket Royale, First Class dan Executive seterusnya memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan dalam bidang pendidikan melalui konsep ‘Berhibur Sambil Beramal’,” katanya.

Tiket konsert “Here I Am” dijual pada harga bermula dari harga RM228 untuk kategori Festival hingga RM788 bagi kategori Diamond Center tidak termasuk cukai dan yuran pentadbiran.

Tiket boleh dibeli di platform: www.ticket2u.com untuk pembelian secara online dan tiket korporat boleh berhubung terus dengan Puan Cik Rohaiza di talian 019-288 9764 atau e-mel: rossa@yayasanprihatin.com.

Selain Kuala Lumpur, konsert “Here I Am” turut diadakan di Indonesia Arena, Jakarta, Indonesia pada 23 Mei 2025 dan Singapura. Di Malaysia, konsert ini akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun 2025, manakala di Singapura akan berlangsung pada penghujung tahun 2025. – KopiPlanet.com

The post Konsert Rossa ‘Here I Am’ Janjikan Sebuah Persembahan Mega, Bakal Beri Pengalaman Mengujakan appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.