Adakah Sah Solat Jika Pakaian Terlekat Bulu Kucing
Kucing adalah haiwan comel yang sentiasa wujud di sela-sela kehidupan kita – di jalanan, di kedai makan, di kawasan tempat tinggal, di masjid, pendek kata di mana-mana sahaja.
Bagi yang benar-benar mencintai haiwan kecil ini pula pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menjadikan mereka sebagai binatang peliharaan.
Tetapi antara perkara yang tidak dapat dielakkan adalah apabila bulu kucing ini melekat di mana-mana – pada pakaian, lantai, tempat duduk, pakaian solat dan lain-lain.
Menurut pendapat ulama bermazhab Syafie, bulu yang tercabut daripada binatang yang haram dimakan, ia dikira najis.
Justeru, kefahaman kita secara asas adalah kerana kucing tergolong dalam kelompok binatang yang haram dimakan, maka bulu yang tercabut semasa ia hidup dikira sebagai najis.
Walau bagaimanapun ada pengecualian dalam hal ini. Bulu kucing tidak dikira najis kerana kucing adalah binatang peliharaan yang sentiasa berkeliaran di sekeliling kita.
Pandangan ini disandarkan kepada sabda baginda SAW: “Sesungguhnya ia tidaklah najis tetapi ia sejenis binatang yang sentiasa berlingkaran kepada kamu” (Riwayat Abu Daud, Al-Turmuzi, Al-Nasai dan Ibn Majah)
Justeru, jika bulu kucing melekat pada pakaian solat, maka ia tidak mengapa. Solat masih boleh diteruskan seperti biasa. Bahkan jilatan kucing juga tidak dikira sebagai najis. Wallahua’lam.
No comments: