Ary Hussin Anggap Satu Penghormatan Dapat Sentuhan Edrie Hashim Untuk Single Sulung ‘Luka Terpaling Dalam’
Pernah viral ketika menyanyi di sebuah gerai burger, Ary Hussin akhirnya kini muncul dengan single perdana berjudul Luka Terpaling Dalam.
Ary berkata, single berkenaan sememangnya cukup bermakna apabila berpeluang merakamkan lagu ciptaan komposer legenda, Edrie Hashim.
“Sudah tentu kolaborasi itu dianggap satu penghormatan besar memandangkan lagu ini dihasilkan seorang legenda yang sangat disegani dan sudah lama saya mengagumi beliau.
“Malah, memiliki single sendiri iaitu Luka Terpaling Dalam ini juga adalah satu lembaran sejarah yang tidak pernah saya bayangkan berlaku dalam hidup,” ujarnya.
Ary berkata demikian ketika berlangsungnya sidang akhbar dalam satu majlis pelancaran single berkenaan yang berlangsung baru-baru ini.
Berkongsi pengalaman rakaman, Ary mengakui bekerja di bawah seliaan Edrie ternyata pengalaman yang cukup mencabar dan luar daripada jangkaannya.
Ujarnya, dia bukan sahaja diuji dari segi stamina vokal, malah diminta memberikan penghayatan penuh dan konsisten dari awal hingga akhir.

“Ketika proses rakamana memang agak rasa tertekan sedikit. Lagipun saya tak pernah melalui proses rakaman satu lagu dari mula sampai habis secara berulang-ulang.
“Kebiasaannya kita rakam satu atau dua kali penuh, kemudian perbetulkan bahagian tertentu. Namun dengan Edrie, lain kerana setiap kali rakam, mesti dari mula hingga hujung,” katanya.
Menurut penyanyi berkenaan, single pertamanya itu diharapkan mendapat sambutan baik kerana ia dihasilkan dengan penuh teliti bagi memenuhi selera pendengar masa kini.
“Sudah tentu harapan saya cukup besar kerana Luka Terpaling Dalam memberi erti yang cukup besar, apatah lagi ia terhasil daripada proses kerja yang sangat cermat,” jelasnya. – KopiPlanet.com
The post Ary Hussin Anggap Satu Penghormatan Dapat Sentuhan Edrie Hashim Untuk Single Sulung ‘Luka Terpaling Dalam’ appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: