Ads Top

‘Konsert ByAjai & Mega Friends’ Gamit Memori Kejayaan Ajai Dalam Industri Hiburan Tanah Air

Tanggal 3 Ogos lalu bertempat di Mega Star Arena, Kuala Lumpur menggamit memori kejayaan seorang penyanyi dan komposer hebat Mohd Faizal Maas atau Ajai yang mencipta nama dalam industri hiburan tempatan.

Sepanjang 33 tahun bergelar seorang anak seni, sudah terlalu banyak lagu yang dihasilkan Ajai, termasuk lagu-lagu yang dinyanyikan ramai penyanyi hebat tanah air dan ia diterjemahkan dalam sebuah konsert yang diberi nama ‘Konsert ByAjai & Mega Friends’.

Semasa konsert berkenaan yang dihadiri kira-kira 4,000 peminat termasuk rakan-rakan artis, sebanyak 18 buah lagu yang dipersembahkan oleh Ajai serta beberapa penyanyi lain seperti Aufahanie, Hazama, Aina Abdul, Dayang Nurfaizah, Hafiz Suip serta kejutan istimewa penampilan Illa Sabry.

Lebih menarik perhatian, kesemua lagu hasil sentuhan Ajai berjaya membuatkan peminat yang hadir terpesona sekali gus ‘berkaraoke’ bersamanya dan penyanyi yang terbabit sepanjang konsert berlangsung.

Pada malam itu, Ajai membuka pentas dengan lagu Semua Orang Tahu yang dipopularkan Rem, Aku Lebih Tahu (Mila Jirin) dan Percayalah (Datuk Seri Siti Nurhaliza).

Kemudian acara diteruskan dengan penampilan penyanyi jemputan pertama, Aufahanie yang menyanyikan lagu ciptaan Ajai yang pernah dipopularkan Allahyarham Siti Sarah iaitu Saat Hilang Cintamu.

“Lagu Saat Hilang Cintamu ini sangat sentimental untuk saya kerana saya amat mengagumi bakat arwah yang cukup luar biasa.

“Kali pertama saya dengar suaranya, saya sudah dapat rasakan dia mempunyai bakat dan aura tersendiri. Arwah memiliki tona suara rendah dan tinggi yang cukup baik,” ujarnya di hadapan penonton.

Kemeriahan konsert diteruskan apabila Hazama muncul dipentas dengan menyampaikan dua buah lagu iaitu Juwita dan Amaran Mama.

Tidak ketinggalan, Hazama tidak melepaskan peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada Ajai kerana sudi mengundangnya menjadi sebahagian dalam acara istimewa itu.

Bagaimanapun, secara kebiasannya dalam sesebuah konsert pasti ada kejutan dan tanpa disangka Ajai turut mengundang penyanyi lagu Keranamu Kekasih iaitu Illa Sabry.

Tidak ketinggalan juga kemunculan Aina Abdul yang tampil dengan gaya ringkas serta menyampaikan dua buah lagu iaitu Hati Ini Telah Dilukai (duet bersama Ajai) serta lagu yang pernah dipopularkan Ning Baizura iaitu Selagi Ada Cinta.

Setelah empat penyanyi membuat persembahan, akhirnya tiba giliran Hafiz untuk tampil menghiburkan peminat dengan menyampaikan lagu popularnya, Ku Akui dan lagu nyanyian Datin Alyah iaitu Tak Mungkin Kerna Sayang.

Ternyata persembahan Hafiz mendapat sorakan gemuruh mereka yang hadir, terutama mereka yang merindui penyanyi berkenaan yang dilihat menyepi seketika daripada bidang nyanyian.

Kemudian, penyanyi Dayang Nurfaizah menjadi artis penutup yang membuat persembahan dengan lagu Kesetiaan dan Seandainya Masih Ada Cinta.

Sepanjang lebih dua jam konsert terbabit berlangsung, rata-rata peminat begitu berpuas hati dengan persembahan demi persembahan yang dibawakan. – KopiPlanet.com

The post ‘Konsert ByAjai & Mega Friends’ Gamit Memori Kejayaan Ajai Dalam Industri Hiburan Tanah Air appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.