Sahkah Nazar Yang Hanya Terlintas Di Hati
Nazar merupakan janji untuk melakukan sebarang perkara yang baik. Syeikh Wahbab Zuhaili menghuraikan nazar dengan sesuatu janji ke atas dirinya untuk melakukan amalan. Hukum melaksanakannya adalah wajib.
Tambahnya lagi, nazar terbahagi kepada dua kategori, iaitu Nazar Mutlak dan Nazar Muqayyad.
Nazar Mutlak ialah sesuatu yang berupa kesyukuran. Ia dilakukan dengan tiada syarat dan sebab untuk bernazar, namun anda keinginan bernazar. Sebagai contoh; “aku bernazar untuk puasa sunat tiga hari.” Maka, ini termasuk dalam Nazar Mutlak.
Nazar Muqayyad pula ialah nazar yang dilakukan dengan sebab musabab dan syarat yang dikenakan. Dalam erti kata lain, ia terikat dengan syarat. Sebagai contoh; “jika isteriku hamil, aku akan berpuasa tiga hari.”
Nazar menjadi sah apabila seseorang itu bernazar di atas perkara-perkara yang tidak wajib dan bukan maksiat. Adapun, jika seseorang itu bernazar untuk melakukan perkara yang wajib sedangkan hukum asalnya adalah wajib, maka ia adalah tidak sah.
Sebagai contoh, anda bernazar untuk berpuasa di bulan Ramadan sedangkan ia adalah perkara wajib yang seharusnya dilakukan dan disyariatkan ke atas umat Islam.
Rukun bernazar ada tiga, iaitu ucapan nazar yang disebutkan melalui lisan, orang yang bernazar dan perkara yang dinazarkan.
Nazar juga menjadi sah dan wajib ditunaikan sekiranya ia dilafazkan dengan lisan. Jika ia sekadar lintasan hati atau niat sahaja, maka ia tidak mencukupi dan tidak dikira dengan nazar.
Hal ini dibahaskan oleh para ulama seperti Imam Nawawi, Imam al-Mawardi al-Hanbali dan juga Imam Jalaluddin al-Suyuti. Ia juga adalah berdasarkan sabda Nabi SAW yang berbunyi:
إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي مَا وَسْوَسَتْ بِهِ صُدُورُهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَكَلَّمْ
Maksud: “Allah telah memperkenankan permohonanku agar Dia memaafkan segala bisikan dalam hati dalam kalangan umatku, selagi mana mereka tidak melakukannya atau melafazkannya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 2528)
Jika anda bernazar akan perkara yang baik (seperti boleh mendekatkan diri dengan Allah), maka wajib ke atas anda untuk menunaikan nazar itu. Namun, jika anda bernazar tentang perkara maksiat dan jika dilakukannya akan menambah dosa, maka tidak wajib untuk melakukannya.
Bahkan, menurut Al-Hafiz Ibn Hajar dan Syeikh Abdurahman bin Hasan, haram hukumnya bernazar atas perkara maksiat. Maka, menunaikan nazar dalam bentuk maksiat juga adalah haram dilakukan.
مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ
Maksud: “Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat, maka janganlah dia melakukan maksiat itu.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 6696)
Tuntasnya, nazar itu ialah janji yang anda telah letakkan kepada diri sendiri dan juga Allah. Ia perlu dilafazkan dengan jelas dan bukan sekadar melalui lintasan hati kerana lafaz itu termasuk dalam rukun nazar.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Mufti Wilayah
No comments: