Beramal Bukan Untuk Kepuasan Hati Manusia Tetapi Menggapai RedaNya
Walau apa pun yang anda lakukan, anda tidak akan dapat lari dari kecaman dan kata-kata orang sekeliling. Jika baik yang anda buat, pasti akan ada mata-mata yang memerhati. Jika buruk yang anda lakukan, pasti akan ada kata-kata yang mengata.
Jika anda tiba-tiba memakai tudung labuh, pasti akan ada yang menggelar anda ustazah atau mempertikaikan mengapa tiba-tiba bertudung labuh.
Jika anda tidak pernah ke masjid dan tiba-tiba mengambil keputusan untuk mencuba ke masjid setiap lima waktu, pasti akan ada mulut-mulut yang berkata anda sudah membuang tabiat.
Jika anda tiba-tiba merokok atau menghisap vape, ia juga akan menjadi perbualan hangat seketika. Pendek kata, setiap kebaikan mahupun kejahatan yang manusia lakukan, akan ada mata-mata dan mulut yang berbicara.
Sebab itu munculnya kata-kata: “Melakukan sesuatu itu bukan untuk kepuasan hati manusia lain kerana fitrah manusia tidak akan pernah puas dengan sesuatu, sama ada kejahatan atau kebaikan.”
Lakukanlah apa yang ingin anda lakukan itu mengikut kata hati dan kesesuaian anda. Asalkan ia adalah perkara betul dan tidak salah di sisi agama mahupun undang-undang, maka pedulikan kata-kata yang ada.
Usah sibuk memikirkan apa manusia akan kata mengenai keputusan yang anda ambil. Adakah mereka akan berpuas hati dengan perlakuan dan perangai anda dan sebagainya. Itu semua hanyalah permainan minda yang akan sentiasa ada.
Jika kemahuan anda ingin memuaskan hati manusia, percayalah ia tidak akan terjadi. Adalah lebih baik untuk anda percaya kepada diri anda sendiri dan lakukan apa yang terbaik untuk kemajuan diri anda. Namun, jangan melakukan perkara buruk ata terkutuk dengan alasan anda tidak peduli kecaman manusia.
Apa yang anda ingin lakukan, niatkanlah untuk mendapatkan keredaan Allah dan bukan keredaan manusia. Almarhum saudara Ammar pernah menyebut,
“Hidup di dunia jika tidak mendapat keredaan Allah, maka ia adalah hidup yang sia-sia.”
Jadi, mengapa perlu pentingkan pandangan dan keredaan manusia andai Allah sendiri tidak berpuas hati dengan anda?
Saya bawakan kisah yang cukup terkenal dalam kalangan kita, iaitu kisah kewafatan bapa saudara Nabi Muhammad SAW. Sehingga ke akhir hayatnya, beliau tidak mengucap kalimah syahadah kerana ingin menjaga maruah dan bimbang jika kaumnya akan terus-terus berbicara mengenai jalan akhir yang beliau ambil.
Beliau pernah bersyair – “Sungguh aku yakin bahawa agama Muhammad adalah agama terbaik di muka bumi ini. Andai bukan kerana celaan dan khuatir dengan adanya ejekan, engkau akan mengetahui diriku menerimanya secara terang-terangan.”
Sedangkan, pada akhirnya manusia akan bertemu tuhan. Amalan dan dosa yang dilakukan akan dihitung di hadapanNya. Tiada lagi ketakutan terhadap manusia ketika itu kerana yang wujud hanyalah ketakutan terhadap pandangan Allah, sama ada boleh membawanya ke syurga atau ke neraka.
Jadi, usah takut dengan kata-kata dan pandangan manusia sebaliknya ambillah ia sebagai salah satu batu loncatan untuk menjadi versi diri anda yang lebih baik. Jadilah diri sendiri yang sentiasa berusaha ke arah keredaan Allah agar jalan ke alam sana nanti luas dan lapang.
Kata-kata manusia itu ibarat batu-batu besar. Jika anda mengambilnya dan meletakkan di atas bahu anda, lama-lama anda akan lelah dan boleh membuatkan anda jatuh tersungkur. Sebaliknya, berdirilah di atas bongkah-bongkah batu tersebut agar ia boleh menjadikan anda manusia yang tinggi darjatnya.
No comments: