Dag Dig Dug 3.0 Simbolik Pembabitan Haiza Selama 30 Tahun Dalam Industri Hiburan
Menyurusi tiga dekad perjalanan dalam industri seni tanah air bukanlah satu tempoh yang singkat buat Haiza selaku penyanyi dan penyampai radio.
Sudah banyak pengalaman dilalui oleh Haiza semenjak memulakan karier sebagai anak seni dengan menghasilkan album Dag Dig Dug… Mana Tahan pada 1995.
Bagaikan sebuah magis, Dag Dig Dug terus menjadi perhatian dan menaikkan namanya ke dalam industri selain terus berkarya dengan beberapa buah album seterusnya, selain terjun ke bidang pengacaraan, lakonan dan dunia radio bersama Kool 101.
“Tiada apa yang mampu diucapkan selain kata Alhamdulillah. Saya bersyukur kerana mampu berjalan dan bertahan tiga dekad di dalam industri dan terus diberikan peluang menghiburkan peminat dari semasa ke semasa.
“Tahun 2025 menjadi tahun ke-30 penglibatan saya di dalam industri. Sudah banyak pahit manis dilalui, terlalu banyak kisah yang mahu dikongsikan bersama semua. Saya mahu terus berbakti kepada semua selagi hayat dikandung badan,” katanya.
Meraikan ulang tahun ke 30 pembabitan Haiza ke dalam industri, Haiza berbesar hati merakam dan melancarkan semula DAG DIG DUG 3.0 sebagai simbolik tiga dekad kekal di dalam industri.
Menariknya, lagu yang dicipta oleh Dedi Abdul Kadir Nughra itu diberikan nafas baharu apabila dia terbang ke Bandung, Indonesia untuk merakamkan semula naskhah berkenaan Disember lalu.
Menggunakan khidmat Diki Suwarjiki selaku penerbit dan arranger, Dag Dig Dug 3.0 juga mendapat sentuhan Ari Yujeng dalam proses mixing dan mastering- yang mana kedua-dua mereka berpengalaman luas dan sering terlibat dengan pelbagai program nasional.
“Diki merupakan antara arranger yang berpengalaman luas dan banyak menggubah semula lagu popular di sana. Ada banyak pembaharuan dilakukan untuk versi baharu termasuklah susunan muzik yang lebih segar dan dinamik.
“Bila kembali ke studio untuk proses rakaman, ada banyak perkara baharu yang saya pelajari bersama mereka. Ini juga merupakan satu pengalaman menarik buat saya dalam perjalanan tiga dekad,” jelas Haiza yang turut menjalani penggambaran video muzik (MV) di Bandung.
Paling mengujakan apabila susunan muzik kali ini lebih berentak ‘koplo’ dan moden namun masih mengekalkan elemen dangdut yang sudah sebati dengan dirinya.
Keinginan untuk merakamkan semula lagu Dag Dig Dug semula turut didorong oleh desakan sebahagian besar peminat dan rakan sekerja yang mahukan sesuatu yang lebih baharu dan segar.
“Lagu asal tersebut dirakamkan ketika saya berusia 15 seperti mana yang anda dengar di radio mahupun semua platform digital. Saya rakam semula ini sesuai dengan hasrat dan keinginan semua untuk mendengar suara yang lebih matang seiring dengan usia.
“Tiada apa yang saya harapkan selain mahu melihat lagu ini mampu kekal bertahan untuk puluhan tahun yang mendatang,” katanya ketika ditemui selasa pelancaran Haiza Dag Dig Dug 30 Tahun di Geo Resort & Hotel, Genting Highland baru-baru ini.
Tambah istimewa apabila, Kool 101 turut menayangkan dokumentari khas berjudul 3 Dekad Dag Dig Dug Haiza yang akan ditayangkan bermula 21 Jun di YouTube Kool 101.
Dalam sambutan berkenaan, Haiza berterima kasih kepada penaja utama, Geo Resort & Hotel, Genting Highlands; penaja dekorasi oleh Peterana Chenta dan radio rasmi Kool 101 yang bersama-sama menjayakan sambutan kali ini.
Turut serta bertindak sebagai rakan strategik Alpha Sound & Light, FKZ Pitcure, NR Cosmetic, Adabi, Pop Meals, Super Coffee, By Qiss Bawal Exclusive Kuantan, Jaja Ishak Channel dan NMR Sports.
Sebagai rekod, Haiza Dag Dig Dug 30 Tahun dibawakan secara eksklusif My Own Entertainment dan Indigital Music.
Dag Dig Dug 3.0 sudah berada disemua platform digital mulai 20 Jun, manakala MV pula ditayangkan melalui YouTube Indigital Music. – KopiPlanet.com
The post Dag Dig Dug 3.0 Simbolik Pembabitan Haiza Selama 30 Tahun Dalam Industri Hiburan appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: