TV AlHijrah, ANIMAS Bergabung Tingkatkan Industri Animasi Malaysia
TV AlHijrah mengukuhkan lagi kedudukan sebagai stesen penyiar berkonsepkan gaya hidup Islam utama di Malaysia melalui pemetraian perjanjian persefahaman (MoU) dengan Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS).
Kerjasama ini menyaksikan pembentukan dan pembangunan semula ekosistem animasi negara yang bukan sahaja memberi faedah kepada kedua-dua pihak malah ia akan memanfaatkan penonton Malaysia serta penggiat industri kreatif di Malaysia.
MoU tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris dan Presiden Persatuan Animasi Malaysia Amir Hamzah Hashim dalam sebuah majlis yang diadakan baru-baru ini.
Namanzee berkata perjanjian itu bertujuan untuk meningkatkan kualiti siaran rancangan di TV AlHijrah secara khususnya menerusi program animasi yang secara langsung membantu pembangunan modal insan negara.
“TV AlHijrah tidak mahu hanya menumpu kepada kandungan untuk orang dewasa sahaja walaupun secara statistiknya lebih enam puluh peratus daripada penonton stesen ini adalah mereka yang berumur lingkungan 30 hingga 55 tahun.
“Kami harus bersikap adil dan terbuka kerana secara dasarnya penyiaran negara memerlukan kandungan rancangan yang tidak tertumpu kepada hiburan sahaja. Kita perlukan juga siaran pendidikan yang membawa penonton ke arah kebaikan.
“Kami meletakkan sepenuh kepercayaan ke atas kepakaran dan pengalaman ANIMAS untuk melaksanakan proses ‘pitching’ bagi mendapatkan senarai pendek karyawan animasi yang difikirkan mampu untuk menerbitkan rancangan animasi yang mempunyai ruh dan DNA TV AlHijrah,” katanya.
Namanzee turut memaklumkan bahawa perjanjian persefahaman ini juga adalah bukti komitmen serta tanggungjawab TV AlHijrah dalam membantu para karyawan yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
“Kami menawarkan penerbitan jangka pendek kepada syarikat-syarikat penerbitan animasi tempatan melalui slot siaran program animasi yang disediakan. Secara tidak langsung ini adalah usaha TV AlHijrah untuk merancakkan kembali sektor ekonomi melibatkan kandungan animasi dan kreatif tempatan sekali gus membantu menjana semula peluang pekerjaan,” ujar Namanzee lagi. – KopiPlanet.com
The post TV AlHijrah, ANIMAS Bergabung Tingkatkan Industri Animasi Malaysia appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: