Nabila Razali Percaya MK K-Clique Jadi Faktor MV Peluang Kedua Catat Tontonan Tinggi
Baru sahaja sehari dilancarkan, muzik video (MV) rasmi lagu Peluang Kedua nyanyian Nabila Razali sudah mencecah lebih satu juta tontonan di YouTube.
Nabila berkata, dia bersyukur dan terharu apabila kejayaan berkenaan sekaligus telah mengulangi rekod single hitnya Pematah Hati.
“Alhamdulillah, saya terharu kerana muzik video Peluang Kedua yang dimuat naik pada Selasa lalu mencapai satu juta tontonan dalam tempoh singkat.
“Ia mengulangi kejayaan Pematah Hati pada tahun 2017 lalu. Mungkin ia biasa bagi orang lain tapi ia satu kejayaan besar buat saya,” jelasnya.
Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali, 27, berkata, ia satu pencapaian yang sangat bermakna dalam kerjaya seninya sebagai seorang anak seni.
Lagu ciptaan komposer dan penyanyi terkenal Hael Husaini dan MFMF ini turut menampilkan penyanyi rap MK K-Clique sebagai hero dan juga rakan duet untuk lagu baharu ini.
> Baca: Neelofa Sah Letak Jawatan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Air Asia
Dalam pada itu, Nabila turut tidak menolak sambutan hangat MV lagu berkenaan juga disebabkan MK K-Clique yang sememangnya menjadi kegilaan para wanita.
“Sebenarnya saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kerana sebelum ini lirik video yang dimuat naik pada April lalu sudah pun mencecah 12 juta tontonan. Saya percaya MK K-Clique juga menjadi faktor penyumbang kepada kejayaan ini.
“Sudah tentu kredit bukan pada saya seorang kerana saya percaya MK juga menjadi faktor untuk orang ramai menonton MV ini berulang kali. Dia juga memberikan kerjasama dalam mempromosikan lagu tersebut sejak dimuat naik semalam,” ujarnya.
Sementara itu, Nabila turut berterima kasih kepada tim produksi Ghzmsn Studio dan pengarah Lily Samsuddin yang bertanggungjawab memberi kualiti video terbaik.
“Selain kami, orang-orang kuat yang beraad di belakang tabir pembikinan MV ini juga patut diberikan ucapan tahniah kerana kejayaan ini.
“Bayangkan banyak dugaan yang kami lalui ketika proses penggambaran terutamanya bermain dengan cuaca yang ketika itu musim hujan dan sejuk di Cameron Highlands,” ujarnya.
Lagu Peluang Kedua versi baharu ini juga boleh didapati di semua pelantar strim bermula Jumaat ini. – KopiPlanet.com
The post Nabila Razali Percaya MK K-Clique Jadi Faktor MV Peluang Kedua Catat Tontonan Tinggi appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: