Ads Top

Khai Bahar Tampil Dengan Single Baharu Beri Sedikit Waktu, Dakap Emosi Pendengar

Tidak semua perjalanan hidup dihiasi bahagia. Ada kalanya, kita rebah tanpa suara. Lalu datang sebuah lagu yang mengingatkan kita bahawa tidak mengapa untuk berhenti seketika, bersandar dan menangis.

Itulah yang dibawakan oleh Khai Bahar menerusi single terbaharunya Beri Sedikit Waktu ciptaan sepenuh jiwa oleh Adi Pawana dan Rudy Nastia, dan diterbitkan oleh syarikat rakaman terulung, Sony Music Malaysia. 

Sebuah lagu balada yang bukan hanya mendakap emosi pendengar, tetapi turut menyuarakan sesuatu yang sering kita simpan dalam diam – pergelutan dalaman yang perlukan ruang dan masa untuk reda.

“Saya terima lagu ini sebaik sahaja mendengarnya. Tanpa ragu. Tanpa fikir panjang. Lagu ini benar-benar menyentuh hati saya kerana ia sangat ‘kena’ dengan fasa yang saya lalui… kehilangan ibu tersayang bukanlah sesuatu yang mudah,” luah Khai.

“Ia bukan sekadar lagu – ia adalah pelukan buat jiwa yang sedang bergelut dalam senyap. Saya percaya semua orang pernah rasa tertekan, tapi tidak tahu macam mana hendak luahkan,” ujanrnya.

Menurut Khai, Beri Sedikit Waktu mengetengahkan mesej empati, penerimaan dan penyembuhan dalaman dan mengajak pendengar untuk tidak menyimpan kesedihan jauh di dalam hati atau berpura-pura kuat, tetapi sebaliknya membenarkan diri untuk merasa dan sembuh mengikut waktu masing-masing.

Dari segi genre, lagu ini tampil sebagai sebuah balada yang sarat dengan elemen “healing” – susunan muzik yang minimalis, vokal yang bersahaja dan lirik yang menyentuh perasaan.

“Saya nyanyikan lagu ini dengan cara paling jujur. Tidak terlalu teknikal dan tersusun. Saya cuma hendak sampaikan rasa.

“Saya percaya, rasa itu pasti sampai kalau datang dari hati,” kata Khai yang mengakui membayangkan ibunya semasa proses rakaman berlangsung.

Dirakam di studio Mixbro Records di Cybersouth, rakaman lagu ini mengambil masa kira-kira dua jam sahaja. Namun prosesnya secara emosi cukup berat buat Khai.

“Saya beberapa kali kena berhenti kerana terlalu sebak. Tapi saya tahu, saya perlu rakam lagu ini. Sebab saya yakin, ramai orang yang perlukan lagu seperti ini,” tambahnya.

Bagi Khai, lagu ini bukan sahaja satu penghormatan kepada ibunya, tetapi juga hadiah kepada sesiapa yang pernah merasakan kehilangan — sama ada orang tersayang, harapan, mahupun semangat diri.

“Saya tahu ramai yang sedang berjuang secara senyap, lagu ini untuk mereka. Kalau lagu ini mampu memberikan sedikit rasa lega, rasa didengari dan difahami… itu sudah lebih dari cukup buat saya,” katanya.

Khai berharap agar lagu ini menjadi peneman setia kepada para pendengar, terutamanya di saat mereka memerlukan ruang untuk bersandar dan kembali kuat.

“Tidak semua orang boleh terus bangun selepas jatuh. Dan saya hendak lagu ini menjadi satu pelukan buat mereka semua. Ambillah masa. Menangislah kalau perlu. Tapi percayalah, kamu akan baik semula,” ujar Khai.

Beri Sedikit Waktu kini boleh distrim di semua platform digital seperti Spotify, Apple Musicdan YouTube Music. Manakala MV rasmi lagu ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube rasmi sonymusicMYVEVO. – KopiPlanet.com

The post Khai Bahar Tampil Dengan Single Baharu Beri Sedikit Waktu, Dakap Emosi Pendengar appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.