Ads Top

Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti Berlangsung Meriah & Penuh Emosi

Konsert Cinta Nostalgia bersama Krisdayanti yang berlangsung pada Ahad lalu di di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) berlangsung dengan begitu meriah dan penuh emosi.

Biarpun ada pertukaran lokasi konsert, namun ia tidak menghalang buat kira-kira 2,300 penonton terhibur dengan persembahan diva Indonesia itu.

Ternyata, konsert yang berlangsung itu bukan sekadar persembahan biasa-biasa, malah Krisdayanti membuktikan dirinya seorang penyanyi yang cukup unggul.

Bukan sekadar menyanyi di pentas, penyanyi itu dilihat cukup akrab dengan peminat apabila turun dari pentas, berjalan mengelilingi dewan sambil menyanyi, menyapa dan berinteraksi secara langsung dengan para peminat.

Keintiman suasana yang dicipta menjadikan konsert ini lebih personal dan bermakna. Peminat yang hadir turut sing-along bersama Krisdayanti dalam hampir setiap lagu sekaligus menghangatkan lagi suasana. 

Paling mencuri tumpuan sewaktu Krisdayanti menghampiri tempat duduk VIP Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk K, lalu menyanyikan bait-bait lagu sebelum menjemput biduanita Malaysia itu naik ke pentas.

Momen lebih indah terjadi apabila Siti tanpa ragu menyampaikan lagu Cindai dengan penuh penghayatan. Walaupun dijemput secara spontan, biduanita negara ini tampil dengan persembahan yang memukau dan membuktikan statusnya sebagai penyanyi nombor satu negara.

Konsert pada malam itu juga diserikan lagi apabila penyanyi Mimi Fly bersama Siti dan Krisdayanti menyanyikan lagu ‘Jika Kau Tak Datang’ yang dipetik daripada album kolaboratif ikonik CTKD (Canda, Tangis, Ketawa, Duka) dan simbolik gabungan nama dua diva tersohor, CT (Siti) dan KD (Krisdayanti).

Krisdayanti turut mengundang anak perempuannya Aurelie Hermansyah, cucu-cucunya Ameena dan Azura, serta Arianna Amora Lemos ke pentas. Mereka bersama-sama mendendangkan beberapa lagu, termasuk ‘Timang-Timang’ ciptaan Anang Hermansyah dan ‘Bertubi-Tubi’ ciptaan Melly Goeslaw.

“Saya masih ingat ketika tahun 1998, saya dukung Aurel sambil mempromosikan lagu ‘Menghitung Hari’. 

“Hari ini, saya berdiri di sini bersamanya, kini seorang wanita dewasa yang sudah memiliki dua anak yang sangat comel. Terima kasih, sayang.

Tak dinafikan, luahan Krisdayanti penuh sebak, membuat ramai tersentuh.

Sebuah segmen istimewa menyaksikan tayangan video throwback perjalanan awal kerjaya seni Krisdayanti. Dari detik pertama mencipta nama, sehinggalah menerima pelbagai anugerah berprestij di Indonesia dan Malaysia.

Penonton turut disajikan klip kolaborasi Krisdayanti bersama nama-nama besar seperti Siti Nurhaliza, Melly Goeslaw, dan ramai lagi. 

Momen ini membuat penyanyi dan penulis lagu Melly Goeslaw tidak dapat menahan sebak, lalu menitiskan air mata menyaksikan rakan baiknya itu berdiri di pentas besar, menyampaikan lagu-lagu kenangan dengan penuh penghayatan.

Tidak lengkap konsert tanpa elemen glamor. Krisdayanti tampil dengan empat persalinan eksklusif bertemakan keemasan, setiap satu memancarkan aura elegan dan mewah. Salah satu busana yang mencuri perhatian adalah rekaan khas pereka tersohor Rizman Ruzaini, yang disiapkan hanya dalam tempoh dua minggu.

Busana-busana ini bukan sahaja menyerlahkan pesona sang primadona, malah seiring dengan tema konsert yang berlatarkan kenangan, kemewahan dan keanggunan.

Secara keseluruhan, pencahayaan dan sistem audio yang mantap, Konsert Cinta Nostalgia ini bukan sahaja hiburan, tetapi juga sebuah perjalanan emosi yang menyentuh hati setiap yang hadir. 

Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti yang dibawakan oleh JBProduction itu akan mengubat rindu peminat selepas KD kali terakhir muncul dengan konsertnya di Malaysia pada 2017 menerusi Konsert Romansa Krisdayanti. – KopiPlanet.com

The post Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti Berlangsung Meriah & Penuh Emosi appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.