Kisah Cinta Pertama, Pengkhianatan & Peluang Kedua Menerusi Drama Mitos Cinta Akira
Viu, perkhidmatan penstriman video OTT terkemuka oleh PCCW mengumumkan drama bersiri Melayu terbaharunya, Mitos Cinta Akira (judul Inggeris: Once Upon Our Love), sebuah kisah romantik menyentuh hati tentang suka duka cinta remaja.
Bersiaran mulai 26 Jun 2025, drama 15 episod ini menampilkan bintang-bintang muda tanah air seperti Arabella Ellen, Muaz Zabir dan Areef Amran dalam kisah yang menyelami kekecewaan cinta, peluang kedua dan keputusan yang membentuk sebuah kehidupan.
Diarahkan oleh pengarah terkenal Nizam Zakaria dan diterbitkan oleh Global Film Station, Mitos Cinta Akira mengisahkan pasangan kekasih di sekolah menengah, Akira dan Haris, yang jatuh cinta walaupun perwatakan mereka amat berbeza.
Namun, hubungan mereka diuji dengan tekanan keluarga, beban pelajaran dan jarak jauh sehinggalah terjadinya satu pengkhianatan yang memutuskan hubungan mereka. Akira kecewa dan Haris pula hilang tanpa khabar.
Beberapa tahun kemudian, takdir menemukan mereka semula. Namun, Haris bukan lagi satu-satunya lelaki yang memiliki hati Akira. Dalam ketiadaan Haris, sahabat karibnya, Ikhwan telah berada di sisi Akira ketika saat paling gelap, membantu Akira sembuh daripada luka cinta lama.
Kini, Akira berdepan pilihan sukar antara cinta pertama yang pernah menghancurkannya atau cinta lelaki yang telah membinanya semula.
Siri yang akan bersiaran pada setiap hari Khamis dan Jumaat ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Haneesya Hanee, Kazar Saisi, Lisdawati, Mia Nasir, Syamsul Ghau Ghau, Mas Anizan, Rosnah Johari dan Rahim Omar. – KopiPlanet.com

The post Kisah Cinta Pertama, Pengkhianatan & Peluang Kedua Menerusi Drama Mitos Cinta Akira appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: