Ads Top

Misteri ‘Motif’ Berjaya Buat Penonton Resah Hingga Ke Penamat Cerita

Tajuk: Motif
Tarikh Tayangan: 26 September 2019
Durasi: 1 jam 25 minit
Genre: Jenayah / Drama
Pengarah: Nadiah Hamzah
Pelakon: Sharifah Amani, Datuk Rosyam Nor, Iedil Dzuhrie Alaudin, Taqim Zaki, Emma Tosh, Azhan Rani, Sherie Merlis.
Klasifikasi: P13

Nampaknya percubaan pengarah Nadiah Hamzah membawakan kelainan dengan mengetengahkan filem bercorak misteri penyiasatan yang sinonim dengan negara Scandinavian berjaya menerusi sentuhan filem pertama arahannya, Motif.

Walaupun mengangkat tema misteri pembunuhan, jika diselami sebenarnya Nadiah cuba untuk menyampaikan mesej mengenai isu poligami yang sering menjadi antara isu dan perdebatan besar di kalangan masyarakat kita.

Permulaan cerita dihidangkan dengan ceramah mengenai poligami yang di dengar di corong radio oleh watak utamanya, Dewi (Sharifah Amani) yang merupakan isteri kedua serta mengalami permasalah rumah tangga dengan suaminya.

Walaupun diselitkan isu poligami, motif utama filem ini lebih berkisar kepada misteri kehilangan seorang gadis remaja, Anna, anak kepada Hussein (Datuk Rosyam Nor) yang akhirnya ditemui mati dibunuh dalam saluran pembetungan sebuah rumah yang masih dalam pembinaan.

Pengarah berjaya membuatkan penonton ternanti-nanti hingga ke penghujung bagi mencari pembunuh sebenar, malah penulis percaya penonton tidak akan dapat berjaya meneka dengan tepat siapakah penonton di pertengahan cerita kerana kesemua watak yang ditampilkan dilihat seakan-akan mempunyai motif untuk membunuh remaja tersebut.

Sinematografi dan skor bunyi filem ini wajar diberi pujian kerana ia sangat bersesuaian dengan filem bergenre jenayah yang sering kali bermain dengan suasana gelap dan suram bagi menambahkan lagi mood tontonan anda.

Watak inspektor polis yang dimainkan Sharifah Amani dan Taqim Zaki juga turut menyerlah menerusi gaya pemakaian mereka yang ringkas serta ketegasan dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan sekali gus menambahkan keyakinan penonton dengan karakter yang dijayakan mereka.

Untuk melarikan sedikit keseriusan dan ketegangan plot dalam filem ini, Nadiah bijak membawakan watak tok kadi dari Songkhla, Thailand bagi memberikan elemen humor menerusi dialog yang diungkapkan oleh karakter tersebut sehingga memecah gelak ketawa satu panggung.

Secara keseluruhannya, Motif merupakan percubaan berani Nadiah yang dilihat dapat membawa impak positif menerusi tema penceritaan berbeza daripada keluaran filem-filem tempatan lain sebelum ini. Ia pastinya memberikan kepuasan maksima buat penonton yang menggemari filem bercorak misteri penyiasatan. Jadi, jangan lupa ‘set date’ anda untuk menonton Motif yang akan mula ditayangkan di pawagam berhampiran anda pada 26 September ini.

Sinopsis:

Motif mengisahkan seorang detektif dari bandar iaitu Inspektor Dewi yang telah ditugaskan untuk menyiasat satu kes kehilangan seorang remaja perempuan bernama Anna di sebuah pekan terpencil di Tanah Merah. Namun, dirinya tidak disukai oleh penduduk pekan itu termasuk Inspektor Rizal, detektif yang ditugaskan bersamanya. Bapa kepada Anna iaitu Hussein pula tidak percaya bahawa Inspektor Dewi mampu menjalankan tugas dan mencari anaknya. Dalam cuba merungkai dalang di sebalik kehilangan Anna, Inspektor Dewi turut dihantui konflik yang melanda dirinya. Apa sebenarnya rahsia di sebalik semua ini? Saksikan filem menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 26 September 2019 ini untuk mengetahui jawapannya. – KopiPlanet.com

The post Misteri ‘Motif’ Berjaya Buat Penonton Resah Hingga Ke Penamat Cerita appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.