Apa Azam Baru Anda Dalam Urusan Agama?
Saya masih belum puas bercakap tentang azam. Saya juga berharap anda masih belum puas mendengar tentangnya. Pada saya, selagi semangat dalam diri masih terasa segar, wajar untuk kita memanfaatkannya.
Sudah banyak tips-tips yang ditulis tentang matlamat dan azam tahun baru. Kebanyakannya tentang perkara yang berkait dengan kesihatan diri, kewangan, matlamat dalam pekerjaan, ingin menambah kemahiran baru, kenalan baru dan sebagainya. Bagaimana pula azam kita dalam urusan agama?
Apa kata kita menyenaraikan juga apa yang ingin diperbaiki tentang amal ibadah dengan Tuhan dan juga hal kebajikan dengan insan di sekeliling. Dalam artikel kali ini, Tzkrh ingin mencadangkan kepada anda beberapa perkara dalam urusan agama yang turut boleh dijadikan azam pada tahun baru ini.
#1- Solat Pada Awal Waktu
Jika sebelum ini kita sering solat di hujung waktu, atau bangun lambat untuk solat Subuh, apa kata bermula pada tahun ini, kita membuat tekad untuk solat lebih awal. Solat pada awal waktu menunjukkan bahawa kita lebih prihatin dengan ‘temu janji’ dengan Allah.
Dari Al Qasim bin Ghannam dari bibinya Ummu Farwah dan dia termasuk orang yang ikut serta berbaiah kepada Nabi SAW bahwasanya ia berkata; “Nabi SAW pernah ditanya, “Amalan apakah yang paling utama?” baginda menjawab: “Solat pada awal waktu.” (HR. Tirmidzi No.155)
#2- Memelihara Waktu Dan Janji
Apabila kita sudah berusaha menjaga waktu ‘temu janji’ dengan Allah, kita juga perlu memelihara waktu dan janji dengan manusia. Usah membiasakan perkataan ‘on the way’ sedangkan kita masih belum memulakan perjalanan untuk berjumpa orang tersebut.
Jika tidak dapat mengelak daripada terlewat, maklumkan lebih awal supaya mereka tidak membazir masa menunggu dan boleh melakukan urusan lain.
Jika anda malu dan segan kerana sering terlambat maka caranya bukan dengan mengatakan ‘on the way’ tetapi berusaha untuk datang lebih awal.
#3- Bersedekah
Sebaik-baik sedekah adalah kepada ahli keluarga sendiri. Jika sebelum ini kita ‘berkira’ untuk menghulurkan duit, memberi hadiah dan membelanja mereka, inilah masanya untuk mula berubah. Kita mungkin berfikir ibu bapa atau ahli keluarga sudah mempunyai duit sendiri, namun itu adalah duit mereka sedangkan pemberian kita adalah hasil daripada titik peluh sendiri.
Berkongsi rezeki dengan orang lain juga salah satu tanda kita bersyukur, dan tidak ada kerugian bagi orang yang bersedekah melainkan Allah akan memberikan balasan yang lebih baik.
#4- Upgrade ‘Doa’ Yang Dipohon Kepada Allah
Allah sangat suka mereka yang berdoa dan memohon sesuatu daripadaNya. Jika anda sudah memohon doa yang sama bertahun-tahun sehingga ia hilang rasa dan makna, dan hanya menjadi sebuah ucapan yang diulang-ulang, apa kata anda mula ‘upgrade’ dengan menambah ucapan doa yang baru.
Banyak doa-doa yang boleh dipelajari, atau cara paling mudah, berdoa dari hati kecil sendiri apa yang anda mahukan dari Allah.
#5- Tambah Pengetahuan Tentang Agama
Tidak ada istilah terlambat dalam menuntut ilmu. Anda boleh menetapkan buat diri sendiri apa yang ingin dipelajari tentang agama – contohnya belajar membaca Al-Quran dengan betul, belajar tentang tafsir beberapa surah, atau belajar tentang hukum dalam isu-isu tertentu.
Tidak perlu menetapkan terlalu banyak benda untuk dipelajari. Satu atau dua sudah mencukupi supaya anda dapat memberi tumpuan yang lebih kepada pembelajaran tersebut.
Kesimpulan
Setiap orang pasti ingin menjadi seorang yang cemerlang dan berjaya dalam hidup. Matlamat kita di dunia ini bukan sahaja untuk berusaha menjadi orang yang berjaya dalam hal-hal keduniaan malah dalam hal agama. Yakin lah bahawa usaha yang dilakukan ini pasti tidak akan sia-sia kerana Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil) dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah Al-Baqarah 2:195)
No comments: