Syed Iqbal Bawa Mesej Tentang Kasih Sayang Menerusi Single Baharu Basstamam
Syed Iqbal dengan bangganya mengumumkan bahawa dirinya baru sahaja menandatangani kontrak secara rasmi di bawah label berteras keislaman Masyhur, Milik Universal Music Malaysia Universal Music Malaysia, dalam usaha untuk meluaskan jangkauan muzik dan kerjayanya.
Mengangkat tema ketenangan dan kebahagiaan dalam menghadapi tekanan hidup, lagu terbaharu berjudul “Basstamam” kini menemui para pendengar dengan nafas segar dan sarat emosi yang menyentuh jiwa.
Dicipta oleh Amir Hufaz dan Wan Saleh, dengan lirik hasil nukilan Abdulkarim Al Ali dan Wan Saleh, Basstamam membawa mesej murni tentang menenangkan insan yang kita sayang—sama ada sahabat, keluarga atau kekasih—untuk menikmati hidup tanpa terbeban dengan tekanan dan masalah.
Menurut penyanyi lagu ini, Syed Iqbal, proses rakaman berjalan dengan lancar dan menyeronokkan, walaupun pada awalnya timbul sedikit rasa bimbang. “Mula-mula saya takut kalau ada tekanan sewaktu rakaman, tapi lama-kelamaan saya dapat catch up dan berasa sangat gembira. Paling membanggakan, saya hanya perlukan dua jam sahaja untuk siapkan rakaman lagu ini,” ujarnya penuh teruja.
Disusun indah oleh Wan Saleh dan diterbitkan bersama oleh Amir Hufaz dan Wan Saleh, Basstamam mengetengahkan susunan muzik yang tenang dan meresap ke jiwa, sesuai untuk dinikmati sewaktu bersantai atau merenung makna kehidupan.
Berkongsi lanjut tentang mesej yang ingin disampaikan oleh Syed Iqbal: “Saya harap para pendengar dapat benar-benar menghayati setiap bait lirik dan menikmati rasa ‘basstamam’ itu dalam hati. Kita semua perlukan ketenangan dan lagu ini diharap menjadi pengubat kepada jiwa yang sedang diuji.”
Video muzik (MV) Basstamam turut menjalani penggambaran yang mencabar tetapi penuh semangat. “Kami perlu panjat bukit dan shooting dari pagi sampai ke petang. Tapi dengan pasukan yang sangat supportive, saya berasa sangat bersemangat untuk menjayakan MV ini,” katanya.
Keseluruhan pembikinan lagu ini disokong oleh tenaga kerja kreatif yang ikhlas dan berdedikasi. “Semua yang terlibat sangat sporting dan mudah dibawa berbincang. Saya benar-benar menghargai komitmen mereka.”
Basstamam kini tersedia di semua platform penstriman digital. Dengan mesej yang mendamaikan dan susunan muzik yang menyentuh perasaan, lagu ini dijangka mendapat tempat di hati pendengar dari pelbagai latar belakang.
“Harapan saya agar lagu ini tersebar luas dan membawa mesej positif kepada sesiapa sahaja yang mendengarnya.”
Tambahan lagi, lagu Basstamam telah meraih banyak perhatian di media sosial dengan lebih 20,000 ciptaan di TikTok dan lebih 2,000 ciptaan di Instagram. Para peminat juga secara organik telah mencipta satu trend yang dinamakan ‘Wahai Bulan Purnama’. Ia merupakan trend peralihan di mana orang ramai menunjukkan diri mereka yang dahulu dan bagaimana mereka telah berubah menjadi lebih baik.
“Basstamam” kini boleh didapati di semua platform digital bermula 30 Mei 2025 dan video muziknya juga boleh ditonton di YouTube rasmi Masyhur. – KopiPlanet.com
The post Syed Iqbal Bawa Mesej Tentang Kasih Sayang Menerusi Single Baharu Basstamam appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: