MASDO Mahu Festival Muzik OOO 2025! Jadi Medan ‘Panas Badan’ Sebelum Tampil Konsert Skala Besar
Bersiap sedia untuk malam yang penuh kehangatan apabila OPPO bekerjasama Warner Music Malaysia dengan bangganya mempersembahkan Festival Muzik OOO 2025! Bertempat di Heritage Valley, Kuala Lumpur pada 1 Julai 2025 nanti.
Para peminat boleh menantikan persembahan penuh bertenaga daripada barisan artis paling berpengaruh di Malaysia termasuk Noh Salleh, MASDO, Bunga, Luqman Podolski, Zynakal, TUJU, Naki, emptypage., Iman Troye, FUGŌ, Jo Vynn, Priscilla Abby, dan Steadygang.
Festival ini sebenarnya menyatukan gabungan hebat muzik pop, hip-hop, indie dan rock dalam satu malam yang pasti tidak akan dilupakan oleh mereka yang hadir nanti.
Bagi MASDO, pastinya mereka bertiga teruja untuk melakukan persembahan sementelah konsert ini akan menjadi lokasi ‘panas badan’ sebelum melakukan konsert sendiri berskala besar tidak lama lagi.
“Sebenarnya ada yang menarik perhatian kami untuk menyertai Festival Muzik OOO 2025! memandangkan barisan penyanyi yang terlibat juga hebat dan mempunyai pengaruh di dalam industri. Rugi sekiranya kami tidak turut serta untuk bersama-sama mereka menghiburkan peminat.
“Kami anggap ini merupakan acara ‘panas badan’ sebelum berperang dengan konsert sendiri pada 30 Ogos depan sempena satu dekad penglibatan kami di dalam industri. Insya-Allah ada sesuatu yang menarik akan kami umumkan kepada semua peminat yang hadir nanti,” kata Ali mewakili Ceri dan Mawi.
Menariknya, festival ini juga bukan sekadar acara hiburan tetapi menandakan pelancaran rasmi siri baharu OPPO Reno, yang menggabungkan muzik, gaya hidup dan teknologi terkini dalam satu sambutan dinamik.
Bagi Pengarah A&R Warner Music Malaysia, Raqeem Brian, pula berkata pihaknya teruja untuk bersama-sama peminat menjayakan festival yang julung-julang kali diadakan bagi menghargai bakat barisan penyanyi yang terlibat.
“Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan OPPO dalam menjayakan festival yang unik ini, yang mengetengahkan bakat luar biasa yang kita miliki di Malaysia.
“Festival Muzik OOO 2025! bukan sekadar konsert, ia adalah satu sambutan budaya yang menyatukan orang ramai melalui muzik, kreativiti dan inovasi,” tambah Brian lagi.
Festival ini akan bermula jam 6 petang dan berlangsung sehingga 11:30 malam, bukan sahaja menampilkan muzik bertaraf dunia, malah pelbagai sudut pengalaman menarik termasuk gerai makanan dan minuman serta pameran interaktif jenama-jenama terlibat.
Menambah lagi keterujaan, OPPO baru-baru ini telah bekerjasama dengan Proton e.MAS untuk sebuah siri kandungan digital khas berjudul ‘Roda Karaoke’, iaitu video karaoke gaya carpool yang menampilkan artis-artis festival seperti Bunga, MASDO, Noh Salleh dan FUGŌ.
Siri yang menyeronokkan dan menghiburkan ini memberi peluang kepada peminat untuk berinteraksi dengan artis kegemaran mereka sambil menyerlahkan model kenderaan terkini daripada Proton e.MAS. Para pengunjung juga berpeluang melawat booth pameran Proton e.MAS di festival tersebut untuk melihat kereta itu secara lebih dekat.
Dengan hanya RM50, ayuh bersama Masdo dan artis popular yang lain menyemarakkan Festival Music OOO 2025. – KopiPlanet.com

The post MASDO Mahu Festival Muzik OOO 2025! Jadi Medan ‘Panas Badan’ Sebelum Tampil Konsert Skala Besar appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: