Genap Setahun Bercerai, Bella Astillah Lancar Lagu Lebih Indah Berpisah… Menangis Ketika Sesi Rakaman
Tanggal 12 Jun 2024 menyaksikan pelakon dan penyanyi popular, Bella Astillah bergelar ibu tunggal setelah bercerai dengan artis kelahiran Singapura iaitu Aliff Aziz.
Kini setelah genap setahun menjalani kehidupan bersama anak-anak tercinta, Bella muncul dengan sebuah lagu berjudul Lebih Indah Berpisah yang dilancarkan pada 12 Jun 2025.
Apa yang menariknya, lagu berkenaan juga mendapat sentuhan daripada penyanyi dan komposer terkenal Indonesia iaitu Ade Govinda.
Bella berkata, lagu terbaharunya itu lebih menjurus kepada kisah seorang wanita yang meneruskan kehidupan yang baharu.
“Tidak semestinya perpisahan itu menjadi sesuatu yang menyedihkan sehingga melemahkan semangat. Lagu ini lebih kepada arah yang positif.
“Pada mula tajuk lagu ini adalah Lebih Baik Berpisah, tetapi setelah berbincang sebelum sesi rakaman dibuat, kami ubah kepada Lebih Indah Berpisah,” ujarnya.
Bella berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran lagu berkenaan yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.
Bercerita lebih lanjut mengenai sesi proses rakaman lagu berkenaan, penyanyi itu menyatakan pada mulanya dia mengambil masa untuk menyanyikannya.

“Mula-mula tu saya senyap dan macam sukar nak menyanyi. Namun, Ade terus memberikan kata-kata semangat dengan menyatakan saya boleh nyanyi.
“Pada masa itu, tekak saya macam rasa sakit dan tahan untuk menangis. Akhirnya saya tetap menangis dan selepas reda daripada tangisan, barulah saya rakam lagu itu betul-betul,” ujarnya.
Sementara itu, Ade yang turut hadir pada majlis pelancaran berkenaan mengakui lagu tersebut adalah berkisar kepada kehidupan Bella.
“Saya dan Bella berbincang mengenai penghasilan lagu ini dan memang ia mengenai kisah hidup Bella. Untuk penerbitan lagu ini juga berjalan dengan lancar dan sangat mudah bekerja dengan Bella,” ujarnya.
Lagu Lebih Indah yang baru sahaja dimuatnaik pada bulan lalu sudah mencapai tontonan 700,000 laman sosial di YouTube. – KopiPlanet.com
The post Genap Setahun Bercerai, Bella Astillah Lancar Lagu Lebih Indah Berpisah… Menangis Ketika Sesi Rakaman appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: