Teater Tun Fatimah: Srikandi Empayar Melaka Angkat Simbol Perjuangan Wanita Melayu
Sebuah karya epik yang menyentuh semangat perjuangan wanita Melayu, Tun Fatimah: Srikandi Empayar Melaka, mengisi pentas keramat Panggung Bangsawan Melaka bermula dari 13 hingga 15 Jun 2025, jam 8.45 malam.
Pementasan ini menjadi simbol usaha berterusan dalam mengangkat sejarah negara, memperkasa warisan budaya, dan memupuk semangat jati diri melalui seni persembahan pentas.
Pengarahnya Lokman Ghani berkata, pementasan kali ini diubah skrip menjadi lebih padat dan mengambil pendekatan untuk memberi ruang penonton hadam dan rehat (intermisson) sebelum meneruskan babak seterusnya.
“Selalu persembahan akan bersambung sampai habis. Tetapi selepas babak Dato’ Bendahara dihukum bunuh, saya bagi rehat di tengah-tengah agar penonton dapat hadam dan rehat sebelum masuk ke babak baru iaitu perkahwinan antara Tun Fatimah dan Sultan Melaka.
“Penonton tidak rehat saja-saja, tetapi saya isi dengan dua persembahan nyanyian Dato’ Jalaludin dan Puja,”katanya.
Teater ini mengetengahkan kisah benar sejarah Kesultanan Melayu Melaka iaitu kisah Tun Fatimah, srikandi agung yang hidup dalam zaman kekuasaan dan kejatuhan Melaka, berdepan pengkhianatan, kehilangan keluarga, dan dilema antara cinta dan tanggungjawab.
Dalam menghadapi dugaan dan tragedi, Tun Fatimah tampil sebagai simbol kekuatan wanita Melayu, memperjuangkan maruah dan mempertahankan bangsa dengan keberanian dan kecerdikan yang luar biasa.

Tambah Lokman teater Tun Fatimah: Srikandi Empayar Melaka bukan sekadar hiburan, tetapi ia menjadi satu platform pendidikan budaya dan sejarah yang membawa penonton menelusuri peradaban lama Melaka, mengenali perjuangan wanita Melayu dalam sejarah, dan menyemai semula semangat kenegaraan serta kecintaan terhadap warisan tanah air.
“Objektif pementasan ini adalah bagi menghidupkan kembali sejarah bangsa dan saya mahu fahamkan pada orang ramai ini bukan mitos tetapi kisah benar dan berfakta. Malah penonton akan tahu dimana kubur Tun Fatimah yang sebenar pada penghujung persembahan ,” tuturnya.
Tun Fatimah: Srikandi Empayar Melaka dibarisi pelakon seperti Ashraf Muslim, Neera Azizi, Aziz M. Osman, Radhi Khalid dan Al Jufferi Jamari.
Pementasan terbitan Boolan Trending dan Pertubuhan Teater Melaka (PERTEM) ini disokong oleh Kerajaan Negeri Melaka melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Melaka (JKKN Melaka) dan MOTAC. – KopiPlanet.com
The post Teater Tun Fatimah: Srikandi Empayar Melaka Angkat Simbol Perjuangan Wanita Melayu appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: