Ads Top

10Star Cinemas Lebar Sayap Buka Pawagam Di Selangor, Peruntukkan Satu Dewan Khas Untuk Tayangan Filem Tempatan

Syarikat pawagam 10Star Cinemas yang sebelum ini dibuka di Sabah melebarkan sayap apabila membuka pawagamnya di Selangor iaitu di pusat beli-belah Hextar World Empire City, Damansara Perdana.

Ketua Pegawai Eksekutif 10Star Cinemas, Onn Norshal Hamzah berkata, cawangan pawagam berkenaan dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2026.

“Pawagam ini akan menawarkan pengalaman menonton yang premium tetapi berpatutan dengan pendekatan yang mesra komuniti.

“Ia juga bakal menjadi ruang budaya bagi pembikin filem tempatan dan antarabangsa, sejajar dengan visi 10Star Cinemas untuk menjadikan pawagam Malaysia lebih terbuka dan inklusif,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), Hextar World Empire City dengan 10Star Cinemas yang berlangsung semalam.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif MAA Group Berhad, Tunku Datuk Yaacob Khayra Dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hextar, Datuk Eddie Ong.

Dalam pada itu, dengan usaha memartabatkan karya anak tempatan, Onn Norshal  mengumumkan 10Star Cinemas akan memperuntukkan sebuah dewan khas bagi tayangan filem-filem tempatan.

Ujarnya, langkah tersebut sebagai satu bentuk komitmen dan usaha pihaknya untuk menyokong industri perfileman tanah air yang kian berkembang.

“Akan ada lapan dewan yang bakal beroperasi nanti dan satu daripadanya akan kami peruntukkan khusus untuk tayangan filem tempatan.

“Sebenarnya inisiatif ini lahir daripada cetusan idea Pengerusi Eksekutif MAA Group Berhad, Tunku Datuk Yaacob Khayra. Kita mahu menyokong filem lokal secara konsisten, bukan sekadar menunggu musim tayangan besar,” katanya.

Jelas beliau lagi, apa yang dibuat ini bukan sekadar pendekatan yang diambil berbeza daripada sistem tayangan sedia ada, malah lebih fleksibel dalam pengisian kandungan dewan khas tersebut.

“Berbeza dengan syarat wajib tayang selama 14 hari di pawagam utama, kami akan tayangkan filem baharu yang masuk pasaran, atau tayangan semula filem lama jika tiada naskhah baharu.

“Filem dari festival juga akan diberi ruang kerana kami percaya setiap karya tempatan wajar dinikmati khalayak lebih luas,” ujarnya. – KopiPlanet.com

The post 10Star Cinemas Lebar Sayap Buka Pawagam Di Selangor, Peruntukkan Satu Dewan Khas Untuk Tayangan Filem Tempatan appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.