MFMF Jalin Kolaborasi Bersama Penyanyi Antarabangsa Menerusi Lagu Goodbye
Ketika ini, trio komposer yang dikenali sebagai MFMF cukup dikenali dalam bidang penciptaan lagu, terutama sekali menerusi lagu Peluang Kedua hasil ciptaan bersama Hael Husaini nyanyi Nabila Razali.
Yang terbaharu, trio yang dianggotai Brendan Lim, Justin Seow dan Wee Zhen Yong atau Zen telah mempertaruhkan lagu Goodbye yang diberi nafas baharu dengan kolaborasi bersama penyanyi antarabangsa.
Lagu berkenaan turut menggandingkan penyanyi Korea-Amerika iaitu Annale, Innigo Pascual (Filipina) dan gitaris dari Brazil, Mateus Asato.
“Sejak Mac lalu, video lirik lagu ini dimuatkan dalam YouTube dan telah mendapat lebih 80,000 tontonan. Ini adalah kolaborasi kedua MFMF di peringkat antarabangsa.
“Sebelum ini, kami pernah bekerjasama dengan penyanyi Vietnam, kumpulan Spuds dan penyanyi tempatan, Evelyn Feroza Fernandez untuk lagu 20 Minutes,” kata Zen.
Zen berkata demikian ketika ditemui pada majlis pra-dengar lagu Goodbye yang diberi nafas baharu pada minggu lalu, namun seorang lagi anggota MFMF iaitu Justin tidak dapat hadir.
Karya terbitan Mako Entertainment ini pernah didendangkan Annale dalam bahasa Korea, manakala David Chua Boon Ghee bertindak sebagai penerbit eksekutif.
Dalam pada itu, Zen memberitahu proses penerbitan lagu Goodbye itu juga dirakamkan pada September tahun lalu.
“Meskipun kami semua hanya bekerjasama secara maya dengan penyanyi artis antarabangsa ini, namun proses rakaman serta memasukkan muzik dan kerja produksi berjalan lancar.
“Malah, kami turut menerapkan elemen bunyian tempatan dalam lagu ini,” katanya. – KopiPlanet.com
The post MFMF Jalin Kolaborasi Bersama Penyanyi Antarabangsa Menerusi Lagu Goodbye appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: