Ads Top

Hampir Setahun Menyepi, Ara Johari Muncul Kembali Dengan Lagu Tetap Aku Cinta

Setelah setahun menyepi tanpa sebarang lagu baharu, Ara Johari kini muncul kembali dengan mempertaruhkan single Tetap Aku Cinta.

Ara berkata, dia masih lagi aktif menyanyi dan hanya mengambil masa yang sesuai untuk mengumpul material serta menguruskan perniagaan makanannya.

“Alhamdulillah kini Ara bersedia membuat comeback dengan single terbaru yang sangat dinanti-nantikan oleh peminat di luar sana dan segala rangka promosi yang telah diaturkan oleh pihak pengurusan.

“Ia mengisahkan tentang seseorang yang menghargai cinta terhadap kekasihnya dengan menyerahkan sisa-sisa hidupnya bersama, walau pelbagai rintangan yang datang, namun dia tetap setia sehingga ke akhirnya,” katanya.

Tetap Aku Cinta yang bergenre balada rock moden dicipta oleh komposer dan penulis lirik hebat tanah air, Amy Bong dan Furhan dan diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment menceritakan tentang cinta terhadap seseorang yang dikasihi.

“Lagu ini sememangnya diberikan khusus kepada Ara oleh Amy dan Furhan sendiri, manakala idea bagi susunan muzik pula datangnya daripada Ara sendiri kerana mahukan sesuatu yang berbeza dan ini merupakan kolaborasi kedua bersama mereka selepas Racun Hati,” jelasnya.

Proses rakaman single Tetap Aku Cinta telah dilakukan di Studio MFMF sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang diwartakan oleh Perdana Menteri Malaysia.

Dalam pada itu, Ara memberitahu muzik video (MV) lagu ini pula masih belum sempat dirakamkan buat masa ini.

“Nasib baik lagu ini sempat dirakamkan sebelum PKP 2.0, namun begitu MV tak dapat disempurnakan lagi.

“Kami hanya mampu menghasilkan lirik video buat masa sekarang, InsyaAllah, MV yang penuh bakal menyusul tak lama lagi,” jelasnya.

Lagu Tetap Aku Cinta boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan.

Ia juga boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer, manakala lirik video single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network. – KopiPlanet.com

The post Hampir Setahun Menyepi, Ara Johari Muncul Kembali Dengan Lagu Tetap Aku Cinta appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.