Membayar Ganti Rugi Jika Terpecahkan Botol Arak Tanpa Sengaja – Bolehkah?
Arak ialah minuman yang memabukkan dan hukumnya adalah diharamkan dalam Islam. Bukan sahaja perbuatan meminum arak diharamkan, namun mereka yang terlibat dengan prosesnya juga diharamkan.
Sebagaimana dalam sebuah hadis yang disebutkan bahawa terdapat 10 golongan yang dilaknat jika terlibat dengan arak;
Maksud: “Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.” (HR Tirmizi, no. 1295)
Bagaimanapun, wujud persoalan di mana jika secara tidak sengaja seseorang yang bergelar muslim itu terlanggar botol arak atau merosakkannya, jadi adakah perlu membayar ganti rugi kepadanya?
Dalam hal ini, pertamanya kita perlu faham konsep harta atau dalam istilahnya disebut sebagai mal.
Harta ialah sesuatu yang dimiliki oleh manusia yang terdiri daripada barangan, sama ada ia adalah barangan yang dipamerkan untuk perniagaan, wang mahupun haiwan.
Ia terbahagi kepada dua bahagian, iaitu Mal Mutaqawwim dan Ghair Mutaqawwim.
#1 – Mal Mutaqawwim
Ia adalah harta pemilikian ke atas individu yang mempunyai nilai dan harus dimanfaatkan menurut syariat.
Sebagai contoh, rumah di atas nama individu tersebut, telefon, komputer riba, kambing atau ayam yang diternak.
#2 – Mal Ghair Mutaqawwim
Ia adalah harta yang tidak menjadi milik sesiapa seperti burung di udara atau ikan di laut.
Ia hanya akan menjadi harta mutaqawwim apabila seseorang memilikinya dengan cara tertentu.
Jadi, Bolehkah Membayar Ganti Rugi
Sekarang kita melihat kepada konsep ganti rugi apabila seseorang itu merosakkan harta pemilikan (mal mutaqawwim). Apabila ia terjadi, pemilik berhak mendapatkan ganti rugi dalam bentuk yang dipersetujui dan bergantung kepada budi bicara masing-masing.
Berbalik kepada arak yang dirosakkan secara sengaja. Ia adalah haram ke atas umat Islam. Tetapi perlu diingat bahawa ia adalah barang yang diiktiraf sebagai harta (mal mutaqawwim) bagi pemiliknya yang bukan Islam.
Justeru, ulama dari Mazhab Syafi’e, Maliki dan Hanbali berpendapat bahawa tidak perlu membayar ganti rugi botol arak yang pecah kerana ia tidak dinilai harta ke atas umat Islam.
Namun, ulama dari kalangan Mazhab Hanafi berpandangan bahawa arak dianggap sebagai harta ke atas bukan Islam. Jadi ganti rugi perlu dibayar kerana ia adalah hak mereka.
Dan berdasarkan kepada uruf (adat/situasi) semasa kita terutamanya yang berbilang kaum, permasalahan ini berada di bawah siyasah syar’iyyah (urusan pentadbiran sesebuah negara Islam dari sudut undang-undang, polisi dan sistem yang bertepatan dengan usul agama Islam, meskipun tiada dalil khusus berkenaannya dalam nas syarak).
Antara contoh yang boleh dilihat; sekiranya anda tidak membayar ganti rugi, pemilik boleh mendakwa anda di bawah undang-undang. Sekiranya ia dibawa ke Mahkamah Sivil, pendakwa mempunyai peluang untuk menang kerana arak merupakan harta yang sah di sisi mereka.
Jadi, ia secara tidak langsung boleh menimbulkan kemudaratan yang lain seperti mencemarkan nama baik Islam serta merugikan masa anda sendiri.
Jadi, untuk menolak mudarat yang lebih besar, perlu membayar ganti rugi ke atas harta (arak) yang dirosakkan kepada pemiliknya.
Hal ini juga mengambil kira kaedah fiqhiyyah yang menyebut:
إذَا تَعَارَضَ مَفْسَدَتَانِ رُوعِيَ أَعْظَمُهُمَا ضَرَرًا بِارْتِكَابِ أَخَفِّهِمَا
Maksud: “Apabila bertembungnya dua mafsadah (kerosakan), maka dipelihara (ditolak) mudarat yang paling besar dengan melakukan mudarat yang lebih ringan.” (Al-Asybah wal-Nazhair, Ibn Nujaim, hlm. 76)
Kesimpulan
Tuntasnya, di sini dapat kita faham bahawa arak bukan harta yang diiktiraf ke atas umat Islam. Namun, ia adalah barang yang dianggap harta ke atas orang bukan Islam.
Jadi, jika terpecahkan arak secara tidak sengaja dan tidak menemui jalan lain untuk menyelesaikannya melainkan dengan membayar ganti rugi, maka boleh dibayar ganti rugi dengan niat untuk menggantikan kesalahan yang dilakukan.
Sumber:
Mufti Wilayah Persekutuan – Pertembungan Antara Dua Mafsadah
Kajian Takrifan Mal (Harta) Menurut Sarjana Asia Barat Dan Implikasinya Terhadap Transaksi Masa Kini
Hal Mutaqawwim Menurut Perundangan Islam Dan Implikasinya Dalam Kehidupan Manusia
Muslim.or.id – Ganti Rugi
The post Membayar Ganti Rugi Jika Terpecahkan Botol Arak Tanpa Sengaja - Bolehkah? first appeared on Tazkirah.
No comments: