18 Disember Diiktiraf UNESCO Sebagai Hari Bahasa Arab Sedunia
Tahukah anda bahawa tarikh 18 Disember telah diiktiraf sebagai Hari Bahasa Arab Sedunia sejak tahun 2012?
Ia telah diiktiraf oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) selepas Maroko dan Arab Saudi mengusulkan bahasa rasmi mereka itu untuk diakui seluruh negara dunia.
Tahun ini, ia disambut dengan tema “Akademi Bahasa Arab: Keperluan Atau Kemewahan?”
Mengapa bahasa ini dirai sebagai hari Bahasa Arab Sedunia? Ia diakui kerana peranannya yang besar dalam bidang ilmu dan telah diguna pakai oleh golongan ilmuwan sejak awal lagi.
Ia juga merupakan salah satu bahasa yang menjadi penghubung kepada pelbagai budaya dan meraikan kepelbagaian terutamanya dalam penyebaran ilmu sains, perubatan dan falsafah sejak ketamadunan Yunani dan Rom sekali gus untuk melahirkan zaman kebangkitan Eropah.
Justeru, hari Bahasa Arab diiktiraf sebagai tujuan melindungi, menambah baik, memperkasa dan juga menyelia penggunaannya dalam ketepatan penyampaian maklumat peristiwa antarabangsa.
Ini adalah beberapa fakta menarik mengenai bahasa ini:
#1 – Kajian menunjukkan bahawa ia adalah salah satu bahasa tertua di dunia yang dituturkan oleh pengguna di Timur Tengah seperti Arab Saudi, Kuwait, Irak dan Mesir dengan lebih dari 25 negara di dunia.
#2 – Ia juga mempunyai bilangan penutur seramai 420 juta orang di dunia.
#3 – Bahasa ini mempunyai lebih 30 dialek.
#4 – Kita menggunakan Bahasa Arab dalam kehidupan seharian seperti perkataan Assalamualaikum, hatta, abad, berkat dan zalim.
#5 – Berusia sekurang-kurangnya 1500 tahun kerana ia telah wujud pada abad ke 1.
#6 – Bahasa Arab mempunyai peranan dalam penentuan hukum berasaskan kaedah yang digunakan oleh para mujtahid dalam menghasilkan sesuatu hukum syarak.
Bahasa Arab bukan sahaja ekslusif untuk penutur muslim, namun ia menyeluruh kepada semua orang. Bahkan, banyak karya penting dan kajian yang menjadi rujukan semua orang.
Kini, Bahasa Arab terus berkembang dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, ekonomi, politik dan kebudayaan sehingga menjadikannya sebagai salah satu bahasa yang ditutur oleh ramai orang.
Maka, ayuh kita mengambil peluang ini untuk meningkatkan lagi kefahaman dan penghayatan terhadap bahasa ini.
Rujukan:
BERNAMA
Kajian Keistimewaan Bahasa Arab
The post 18 Disember Diiktiraf UNESCO Sebagai Hari Bahasa Arab Sedunia first appeared on Tazkirah.
No comments: