Ads Top

Aaron Aziz dan Nadiya Nisaa Kembali Bersatu Menerusi Bidadari Tanpa Syurga

Viu, platform penstriman video terkemuka PCCW mengumumkan Viu Original terbaharunya, Bidadari Tanpa Syurga (When Grace Ends).

Ia sebuah drama yang menyatukan semula dua gandingan paling digemari penonton Malaysia, Dato’ Aaron Aziz dan Nadiya Nisaa, buat pertama kali sejak watak ikonik mereka dalam Adam & Hawa pada tahun 2012.

Lebih daripada sekadar penyatuan semula dua pelakon popular, Bidadari Tanpa Syurga mengetengahkan sebuah drama kekeluargaan yang mengupas peranan agama, tanggungjawab dan kuasa dalam sebuah rumah tangga. 

Diarahkan oleh pengarah terkenal Jamal Khan dan diterbitkan oleh Global Film Station, siri 12 episod ini turut dibintangi oleh Syad Mutalib dan Lorenzo Irmann, menerusi sebuah kisah yang menyentuh tema-tema yang jarang dipaparkan secara terbuka di kaca televisyen tempatan.

Screenshot

Mengenai Siri Ini

Azlan (Dato’ Aaron Aziz) mengendalikan sebuah NGO dan dikenali sebagai individu yang sering menjadi kepercayaan masyarakat. 

Apabila sesebuah keluarga berdepan masalah kewangan atau berhadapan dengan kesukaran yang terlalu berat untuk dikongsi, Azlan sentiasa tampil membantu. 

Berilmu dan tenang dalam pendekatannya, Azlan menggunakan agama sebagai panduan untuk membantu mereka mencari jalan keluar. 

Pada pandangan masyarakat, beliau merupakan seorang Muslim yang baik dan sentiasa melakukan perkara yang betul.

Namun di rumah, kehidupannya jauh lebih rumit. Isterinya, Farhah (Nadiya Nisaa), sering mempersoalkan masa dan keutamaannya sehingga dilihat sebagai seorang isteri yang sukar untuk memahami keadaan Azlan. 

Apabila Azlan mengahwini Aisyah (Syad Mutalib), anak kepada seorang lelaki miskin, beliau menganggap keputusan untuk berpoligami sebagai satu tanggungjawab dan pilihan yang betul dari segi moral.

Namun, keputusan tersebut akhirnya mencetuskan pelbagai konflik baharu dalam keluarga mereka.

Tinggal sebumbung memaksa Farhah dan Aisyah menyesuaikan diri dengan kehidupan berpoligami yang dipenuhi peraturan, persepsi dan persaingan yang tidak pernah diluahkan secara terbuka. 

Namun persoalan sebenar yang timbul adalah sama ada musuh mereka benar-benar sesama sendiri, atau suami yang menggunakan agama untuk mengawal kehidupan kedua-dua isterinya.

Drama ini juga turut menampilkan lagu tema Hujung Indah nyanyian Umairah. Single terbaharu ciptaan Iqie Hugh dan Omar K itu dilancarkan bersempena dengan tayangan drama tersebut dan kini tersedia di semua platform muzik digital.

Bidadari Tanpa Syurga ditayangkan secara eksklusif di Viu mulai 11 Jun 2026 dengan episod baharu pada setiap hari Khamis dan Jumaat.

Ikuti kami di Facebook, Instagram, YouTube, X, dan TikTok. TikTok. Muat turun aplikasi Viu melalui App Store, Google Play, Huawei AppGallery serta TV pintar terpilih, atau layari www.viu.com. – KopiPlanet.com

The post Aaron Aziz dan Nadiya Nisaa Kembali Bersatu Menerusi Bidadari Tanpa Syurga appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.