Ads Top

Isu Berkemban Dalam Iklan Produk: Dayana Roza Mohon Maaf

Pelakon Dayana Roza tampil membuat permohonan maaf terhadap mana-mana pihak yang tersinggung dengan iklan produk sabun keluarannya, Dermagic yang menampakkannya hanya berkemban dengan memakai top berwarna putih.

Menurut Dayana, 28, dia tidak berniat untuk menimbulkan kontroversi sebaliknya hanya ingin mengikut konsep iklan produk antarabangsa yang sentiasa tampil dengan tema ‘less is more’.

“Saya mohon maaf jika ada mana-mana pihak yang tersinggung dengan penampilan saya dalam iklan itu walaupun saya rasa ia tidak keterlaluan bagi pihak orang-orang yang rapat dengan saya termasuk ahli keluarga dan rakan-rakan.

“Masa saya tayangkan iklan itu kepada ayah saya, dia pun cakap benda ini pasti akan jadi kontroversi tapi memang bukan niat saya untuk timbul kontroversi sebaliknya saya hanya mengambil konsep ringkas, ‘less is more’ yang sinonim dengan iklan produk kecantikan antarabangsa.

“Rasanya kalau bukan saya yang jadi model iklan itu mesti tiada orang yang kecam, padahal saya masih lagi berbaju dalam iklan tersebut. Biasalah, orang lebih suka melihat kesalahan yang kita lakukan daripada perkara-perkara baik yang pernah kita buat,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pratonton filem Kron yang diadakan di MM2 Cineplexes, E-Curve, Mutiara Damansara semalam.

Walaupun sudah lali dengan pelbagai kecaman, Dayana meminta semua pihak menghormati pandangannya seperti mana dia menghormati teguran dan pandangan orang ramai di luar sana.

“Saya akui sedikit tertekan tapi ini bukan kali pertama saya dikecam, saya hormati pandangan orang dan saya harap orang pun hormati pandangan saya dan saya sentiasa percaya setiap benda berlaku ada hikmahnya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, filem lakonan Dayana berjudul Kron bakal ditayangkan bermula 22 Ogos ini. Filem arahan Opie Zami itu turut menampilkan Zahiril Adzim, Aman Graseka, Mamak Puteh dan Ruminah Sidek. – KopiPlanet.com

The post Isu Berkemban Dalam Iklan Produk: Dayana Roza Mohon Maaf appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.