Bolehkah Meninggalkan Solat Jumaat Jika Hujan?
Solat Jumaat merupakan sebuah kewajipan untuk dikerjakan oleh tiap-tiap lelaki Muslim secara berjemaah. Ia merupakan solat Fardhu (dua rakaat) yang dilakukan pada hari Jumaat bagi menggantikan solat Zohor.
Hukumnya adalah Fardhu Ain, iaitu wajib dikerjakan ke atas setiap mukallaf dengan syarat-syarat tertentu. Ini adalah berdasarkan dalil Allah yang berbunyi:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Surah al-Jumu’a, 62:9)
Berdasarkan dalil daripada Toriq bin Syibah RA, Rasulullah SAW bersabda:
الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
“Solat Jumaat adalah tanggungjawab yang wajib atas setiap lelaki Muslim”. (Hadis Riwayat Abu Daud)
Antara syarat wajib solat Jumaat ialah Islam, baligh dan tidak wajib bagi kanak-kanak yang belum baligh, berakal dan tidak wajib ke atas orang gila, merdeka, lelaki dan tidak diwajibkan ke atas orang perempuan, sihat serta bermastatutin atau bermukim.” (Hadis Riwayat Muslim)
Syarat sah untuk mendirikan solat Jumaat ialah ia perlu didirikan dalam waktu Zohor dan mempunyai jemaah dengan 40 orang atau lebih serta perlu didahului dengan dua khutbah.
Mereka yang mengalami keuzuran seperti sedang sakit sehingga menyukarkan untuk ke masjid atau bimbang akan memudaratkan penyakitnya, muslim yang sedang dalam musafir serta jika berlaku masalah cuaca seperti hujan lebat, banjir atau ribut taufan sehingga memudaratkan jika ke masjid, maka dikecualikan daripada menunaikan solat Jumaat.
Ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Solat Jumaat itu hak wajib dikerjakan oleh tiap-tiap orang Islam dengan berjemaah, kecuali empat jenis manusia: hamba sahaya yang dimiliki, perempuan, anak-anak dan orang yang sakit.” (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Hakim)
Berdasarkan sebuah hadis lain daripada Abu Hurairah RA dan Ibn Umar RA, mereka berdua mendengar Rasulullah SAW bersabda ketika baginda berada di atas mimbarnya:
لَيَنْتَهِيَنَّ أَقْوَامٌ عَنْ وَدْعِهِمُ الْجُمُعَاتِ أَوْ لَيَخْتِمَنَّ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ ثُمَّ لَيَكُونُنَّ مِنَ الْغَافِلِينَ
“Hendaklah sesuatu kaum itu daripada meninggalkan solat Jumaat atau Allah akan menutup hati-hati mereka, akibatnya mereka akan menjadi golongan yang lalai.” (Hadis Riwayat Muslim)
Tinggal Jumaat Ketika Hujan Lebat
Islam merupakan agama yang mudah dan tidak membebankan umatnya kerana Islam mahu mengelakkan haraj, iaitu mendatangkan kesusahan terhadap umatnya. Hujan pula termasuk dalam kategori rukhsah, iaitu ia membolehkan seseorang muslim meninggalkan solat Jumaat. Ini adalah berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud:
Berkata ‘Abd al-Rahman Ibn Samurah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “Apabila hujan lebat, maka solatlah kamu di rumahnya.”
(Hadis Riwayat ‘Abdullah ibn Ahmad)
Maka, jika hujan lebat atau keadaan cuaca yang teruk dan tidak mengizinkan untuk ke masjid bagi menunaikan solat secara berjemaah, dibolehkan untuk tidak menunaikan solat Jumaat. Oleh itu, wajib ke atasnya untuk melakukan solat fardhu Zohor sahaja.
Namun perlu diingat supaya tidak bermudah-mudah dan sengaja mencari alasan untuk meninggalkan solat Jumaat. Kini, banyak kemudahan pengangkutan yang dapat memungkinkan kita untuk tetap sampai ke masjid.
Segelintir ulama’ pula berpendapat bahawa, solat Zohor itu perlu dilakukan setelah muslim selesai melakukan solat Jumaat dua rakaat. Ia adalah untuk menghormati muslim lain yang sedang menunaikan solat Jumaat.
Ada juga sebahagian muslim yang menimbulkan persoalan, bagaimana pula jika sedang bersolat di kawasan yang tidak berbumbung, kemudian hujan turun dengan lebatnya?
Di sini, jika keadaan itu sehingga boleh memudaratkan, maka boleh berhenti daripada solat tersebut dan menggantikannya dengan melaksanakan solat zohor. Tetapi jika ingin meneruskan solat dalam keadaan hujan juga adalah dibolehkan.
Kesimpulan
Solat jumaat merupakan sebuah fardhu yang diwajibkan ke atas setiap lelaki muslim. Namun, jika berlaku sesuatu perkara yang menyebabkan sehingga tidak boleh melaksanakannya, maka Islam memberi keringanan kepada Muslim dengan syarat-syarat tertentu. Haram hukumnya jika meninggalkan solat jumaat dengan sengaja tanpa alasan yang munasabah. Berdasarkan Ibn Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ سَمِعَ الْمُنَادِيَ فَلَمْ يَمْنَعْهُ مِنَ اتِّبَاعِهِ عُذْرٌ فَلَا صَلَاةَ لَهُ قَالُوا: وَمَا الْعُذْرُ؟ قَالَ: خَوْفٌ، أَوْ مَرَضٌ
“Barangsiapa yang mendengar (azan) tukang azan lalu dia tidak memiliki keuzuran yang menghalangnya mengikuti solat (Jemaah), maka solatnya tidak diterima. Sahabat bertanya, “Apakah itu keuzuran?” Baginda menjawab: “Perasaan takut dan sakit.”
Rujukan: Solat Jumaat
No comments: