‘Colony’ Filem Zombi Gabungkan Elemen Horror Thriller, Survival & Aksi Brutal
Nama Yeon Sang-ho sememangnya cukup sinonim dengan genre zombi moden Korea Selatan selepas kejayaan luar biasa Train to Busan dan Peninsula.
Kini, selepas enam tahun, beliau kembali dengan karya terbaharu berjudul Colony yang digambarkan sebagai filem paling agresif dan mendebarkan pernah dihasilkannya.
COLONY membawa penonton ke sebuah dunia di mana manusia bukan sahaja perlu melarikan diri daripada jangkitan, tetapi juga berdepan makhluk dijangkiti yang sentiasa berubah dan berkembang.
Zombi dalam filem ini tidak lagi bergerak secara rawak, sebaliknya mampu menyesuaikan diri, mengenali manusia dan menyerang secara berkumpulan dengan corak yang tidak dapat dijangka.
Filem ini menghimpunkan pelakon popular Korea Selatan termasuk Gianna Jun, Koo Kyo-hwan, Ji Chang-wook, Shin Hyun-been, Kim Shin-rock dan Go Soo yang masing-masing memainkan watak survivor dengan latar emosi dan konflik tersendiri.
Antara kekuatan utama COLONY ialah pendekatan realistik dalam menghasilkan makhluk dijangkiti tersebut.
Produksi memilih untuk meminimumkan penggunaan CGI dan sebaliknya menggunakan tubuh manusia sebenar, koreografi tarian moden serta efek solekan praktikal bagi mencipta pengalaman seram yang lebih dekat dan nyata.
Bukan itu sahaja, filem ini turut menampilkan sinematografi berskala besar, aksi survival penuh intensiti dan muzik elektronik yang menambahkan rasa cemas sepanjang filem berlangsung.
Dengan gabungan elemen horror thriller, survival dan aksi brutal, COLONY dijangka menjadi satu lagi fenomena baharu dalam genre K-zombie dan bakal memberikan pengalaman menonton yang lebih ganas, lebih gelap dan lebih menakutkan berbanding filem-filem sebelumnya.
COLONY akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 22 Mei ini. – KopiPlanet.com
The post ‘Colony’ Filem Zombi Gabungkan Elemen Horror Thriller, Survival & Aksi Brutal appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: