Ads Top

Aisha Retno Akhirnya Muncul Dengan Album Studio Pertama, Pertaruhkan Lima Buah Lagu

Penyanyi berbakat, Aisha Retno kini melancarkan album studio pertama berjudul [ R e .H a b ]. Fasa pertama album tersebut memuatkan lima buah lagu (secara digital) bermula dengan single pop rock yang mendapat sambutan hangat baru-baru ini iaitu Tak Adil , diikuti dengan lagu pop etnik terbaharu, Jeda serta tiga buah lagi iaitu O.R.B.I.T, Lengkapilah Kita (Missing Peace) dan Titik Tem (duet bersama Megat Fazly).

Lima lagu yang menjadi permulaan dalam album tersebut sememangnya ‘cukup perisa’ kerana menonjolkan genre dan gaya penyampaian yang berlainan. 

Lagu Jeda misalnya, ia mempunyai kekuatan tersendiri dari segi muzik yang bertenaga serta visual dalam video muzik yang penuh berseni.

“Sebenarnya untuk lagu ini saya cari tajuk dahulu barulah tulis lagunya. Saya rasa perkataan Jeda itu adalah satu lambang yang tepat dan punya kaitan dengan tajuk album saya iaitu [ R e .H a b ].

“Jeda bermaksud berhenti seketika dan dalam proses rehabilitasi atau pemulihan, kita perlu berhenti seketika untuk berfikir tentang apa yang telah berlaku dan apa yang kini sedang berlaku.

“Bagi saya, selepas kita mengambil masa untuk berfikir, ia dapat membantu dalam proses menyusun langkah dan perancangan seterusnya baik soal kerjaya, percintaan dan macam-macam lagi,” kata Aisha.

Mengulas lanjut, Aisha atau nama lengkapnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam mengakui kisah penceritaan dalam lagu Jeda diinspirasikan daripada pengalaman hidupnya sendiri.

“Saya tulis lagu ini berdasarkan pengalaman hidup saya sendiri memandangkan saya pun sedang berhenti seketika untuk bercinta dan menumpukan lebih fokus terhadap kerjaya. 

“Dalam lagu ini, anda boleh dengar ada kisah srikandi dan arjuna, itulah yang saya gunakan sebagai metafora berkaitan mesej yang saya ingin sampaikan – srikandi itu tidak mahu mudah tertipu dengan kata-kata manis sang arjuna.

“Soal pasangan hidup saya serahkan saja pada Tuhan, Insya-Allah apabila tiba waktunya maka ada lah orang yang sesuai,” katanya yang mengambil masa lebih kurang enam bulan menyiapkan fasa pertama album [ R e .H a b ] .

Menurut penyanyi berdarah kacukan Malaysia dan Indonesia ini, setiap lagu dalam album berkenaan mempunyai rentetan baik dari segi penceritaan mahupun melodi.

“Selain lagu Tak Adil dan Jeda, lagu-lagu lain juga sedikit sebanyak ada yang bersangkut paut dengan perasaan yang saya pernah lalui sendiri. Seperti lagu O.R.B.I.T, ia adalah tentang rasa kita bermimpi ketika mencintai seseorang.

“Lagu Lengkapilah Kita (Missing Peace) pula, tajuknya sudah jelas menggambarkan rasa dalam hati ramai orang kerana sudah tentu kita mahu hidup berpasangan dan melengkapi antara satu sama lain.

“Sementara itu, lagu Titik Temu pula menceritakan tentang rasa tertanya-tanya sama ada masih mungkin kita bertemu dengan orang yang sama atau orang yang barharu untuk menjalin cinta,” jelasnya.

Ditanya tentang kos pembikinan album [ R e .H a b ] , Aisha akui ia menelan belanja yang agak tinggi.

“Syukur Alhamdulillah kerana album ini dapat dihasilkan dengan jayanya. Saya sangat gembira dan terharu. Secara keseluruhan, ia memang menelan belanja yang agak tinggi sepanjang saya bergelar penyanyi. 

Namun saya okay saja kerana bersemangat hendak hasilkan album studio yang pertama, lagipun lagu-lagu dalam album ini saya nukilkan sendiri bersama collaborators lain. Buat lagu sendiri memang memberi kepuasan yang luar biasa tambahan lagi, saya juga terlibat dalam kerja-kerja producing album ini bersama adik saya, Radi.

“Kami dua beradik memang memandang serius tentang penghasilan album ini. Sejak awal Januari tahun ini, hampir hari-hari kami bertungkus lumus untuk menyiapkannya. Mujurlah kami ada studio sendiri di rumah, lebih senang dan jimat masa,” kata Aisha.

Album [ R e .H a b ]telah dilancaran di platform digital secara rasmi pada 25 Julai 2025. Video muzik rasmi lagu Jeda juga sudah boleh ditonton di saluran YouTube Aisha Retno.

Video muzik (visualizer) untuk lagu O.R.B.I.T, Titik Temu dan Lengkapilah Kita (Missing Peace dijadualkan boleh ditonton sejak, 1 Ogos lalu. – KopiPlanet.com

The post Aisha Retno Akhirnya Muncul Dengan Album Studio Pertama, Pertaruhkan Lima Buah Lagu appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.