Kong Tao Inspirasi Kepercayaan & Kisah Mistik Dalam Masyarakat Asia Tenggara
Menjelang tayangan rasmi di pawagam seluruh negara pada 19 Mac ini, filem seram Kong Tao tampil memperkenalkan barisan pelakon antarabangsa menerusi tayangan media dan sidang akhbar yang berlangsung di TGV Cinema, Sunway Pyramid, hari ini.
Acara tersebut menyaksikan kehadiran pelakon dari pelbagai negara termasuk bintang Thailand, Kao Supassara Thanachat; pelakon Hong Kong, Philip Keung; serta wakil Malaysia seperti Bront Palarae, Yumi Wong dan Eric Lay.
Turut sama memeriahkan majlis ialah pelakon Singapura Glenn Yong dan Mayiduo, selain dua pengarah filem ini, Peiji Goh dan Yong Choon Lin.
Dalam sesi bersama media, para pelakon berkongsi pengalaman sepanjang penggambaran yang disifatkan mencabar, khususnya dalam menghidupkan watak-watak yang sarat dengan emosi serta tekanan psikologi.
Kolaborasi antara pelakon dari latar budaya berbeza turut menjadi antara elemen menarik dalam pembikinan filem ini.
Philip Keung, yang membawakan watak berkait rapat dengan dunia ilmu hitam, memaklumkan beliau mengambil inisiatif mempelajari asas bahasa Thai bagi memastikan penyampaian watak lebih meyakinkan.
Sementara itu, Glenn Yong, Eric Lay, Mayiduo dan Yumi Wong menggalas peranan sebagai sekumpulan YouTuber yang menjalankan eksplorasi paranormal di Thailand.
Perjalanan mereka yang pada awalnya sekadar mencari pengalaman luar biasa bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka mula diganggu kejadian aneh selepas pulang ke negara asal.
Kao Supassara Thanachat yang baru tiba di Kuala Lumpur turut berkongsi keterujaannya dapat bekerjasama dengan produksi Malaysia, khususnya melalui babak-babak bersama Bront Palarae.
Bront pula memegang watak Amin, seorang pemandu pelancong tempatan yang membantu watak Fon dalam menyiasat kejadian-kejadian misteri yang berlaku.
Menurut kedua-dua pengarah, filem ini dihasilkan hasil inspirasi daripada kepercayaan dan kisah mistik yang wujud dalam masyarakat Asia Tenggara.
Kajian mendalam terhadap elemen budaya serta amalan tertentu menjadi asas dalam membentuk naratif yang lebih autentik dan dekat dengan penonton serantau.
Kong Tao merupakan hasil kerjasama produksi beberapa negara termasuk Malaysia, Thailand dan Singapura dengan sokongan Kementerian Komunikasi serta FINAS.
Filem ini akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 19 Mac ini.
Sinopsis
Kong Tao mengisahkan seorang wartawan dari Thailand, Fon, yang menyiasat satu kes lama melibatkan sekumpulan pelajar yang dipercayai menjadi mangsa ilmu hitam.
Dalam usahanya merungkai kebenaran, beliau bertemu empat YouTuber yang pernah ke Thailand untuk menjalankan aktiviti paranormal.
Namun selepas pulang, mereka mula mengalami gangguan aneh yang semakin serius, termasuk kematian misteri salah seorang daripada mereka.
Percaya bahawa mereka terkena sumpahan, Fon mendapatkan bantuan pengamal ilmu putih bagi menghentikan perkara tersebut sebelum rahsia sebenar yang lebih gelap mula terbongkar. – KopiPlanet.com
The post Kong Tao Inspirasi Kepercayaan & Kisah Mistik Dalam Masyarakat Asia Tenggara appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: