Ads Top

Suria FM & Toyota Lancar Lagu & Muzik Video ‘Gurindam Aidilfitri’, Turut Anjur Cabaran Dengan Hadiah Sehingga RM3,000

Sempena menyambut Aidilfitri yang bakal tiba, Suria FM dengan kerjasama Toyota melancarkan lagu dan muzik video (MV) Raya terbaharu berjudul “Gurindam Aidilfitri” yang dinyanyikan oleh barisan penyampai Suria FM iaitu Fad, Ajak, Elly, Cik Piah, Chiwan, Kai, Irsyad, dan DJ Lin.

Dilancarkan secara rasmi pada 9 Mac 2026, “Gurindam Aidilfitri” menampilkan muzik yang ceria dengan sentuhan moden dan tradisional, sekali gus mengangkat suasana raya yang penuh nostalgia serta nilai kekeluargaan.

Lagu ini diterbitkan oleh Lsandbeats Legacy, dengan komposisi oleh Luca Sickta dan Nazif Analog, manakala liriknya ditulis oleh Luca Sickta, Nazif Analog dan B-Heart.

Muzik video ini memaparkan momen klasik Aidilfitri seperti memohon kemaafan, kunjung-mengunjung, berkongsi juadah raya, dan merakam kenangan bersama keluarga serta sahabat.

Ia menekankan semangat kebersamaan, memaafkan kesilapan lalu, dan mengeratkan silaturrahim. Penampilan beberapa model kenderaan Toyota dalam MV turut menambahkan keceriaan visual sambil menyampaikan mesej perjalanan pulang ke kampung yang selamat dan selesa bersama insan tersayang selari dengan semangat perayaan yang dinantikan setiap tahun.

Bagi memeriahkan lagi pelancaran lagu ini, Suria FM turut memperkenalkan “Gurindam Aidilfitri Dance Challenge”, di mana peserta berpeluang memenangi hadiah wang tunai sehingga RM3,000.

Peserta perlu mengikuti langkah tarian rasmi seperti yang dipaparkan dalam muzik video tersebut. Orang ramai juga digalakkan untuk menyertai cabaran ini bersama ahli keluarga dan rakan-rakan kerana konsepnya mudah, lagi ramai, lagi meriah.

Pecahan hadiah adalah seperti berikut:

• Tempat Pertama – RM1,500

• Tempat Kedua – RM1,000

• Tempat Ketiga – RM500

Orang ramai boleh menonton muzik video penuh “Gurindam Aidilfitri” di saluran YouTube rasmi Suria FM, Suria Malaysia, serta mengikuti maklumat lanjut mengenai cabaran ini melalui platform media sosial rasmi Suria FM, Suria Malaysia.

Dengan pelancaran ini, Suria FM berharap “Gurindam Aidilfitri” dapat menjadi antara lagu raya yang menceriakan sambutan Aidilfitri 2026 serta mengajak masyarakat meraikan Syawal dengan penuh kegembiraan, kemaafan dan kebersamaan. – KopiPlanet.com

The post Suria FM & Toyota Lancar Lagu & Muzik Video ‘Gurindam Aidilfitri’, Turut Anjur Cabaran Dengan Hadiah Sehingga RM3,000 appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.