10,000 Anak Pahang Di Perantauan Terima Baucar RM100 Menerusi Program ‘Moh Balik Negeri Pahang’
Kerajaan Negeri Pahang terus komited menyantuni anak-anak Pahang di perantauan melalui pelaksanaan Program Baucar Raya “Moh Balik Negeri Pahang” yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Program ini telah memasuki tahun ketiga pelaksanaannya sejak diperkenalkan pada tahun 2024 sebagai inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu anak-anak Pahang di perantauan pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga di kampung halaman.
Untuk tahun 2024 dan 2025 Kerajaan Negeri memberi baucar patrol / diesel sebanyak RM50 untuk 5,000 orang penerima.
Manakala untuk tahun ini, pelaksanaan program dipertingkatkan dengan pembelian barangan menerusi aplikasi e-wallet PahangGo.
Nilai baucar juga dinaikkan kepada RM100 seorang, manakala jumlah penerima meningkat kepada 10,000 orang anak Pahang di seluruh negara.
Daripada jumlah tersebut, seramai 2,000 penerima menerima baucar pada majlis malam ini di Kuala Lumpur, manakala baki 8,000 penerima lagi akan menerima baucar melalui penyerahan oleh kepimpinan negeri di kampung halaman masing-masing di Pahang.

Untuk rekod, program ini menerima sambutan luar biasa dengan 77,452 permohonan diterima dalam tempoh tujuh hari sahaja sejak permohonan dibuka.
Pemilihan penerima telah dilaksanakan secara teliti oleh Sekretariat Perantau Anak Pahang bagi memastikan pengagihan dibuat secara adil serta mengelakkan pertindihan penerima.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri juga telah menubuhkan Sekretariat Perantau Anak Pahang pada tahun 2024 sebagai jambatan penghubung antara Kerajaan Negeri dan anak-anak Pahang di perantauan.
Melalui sekretariat ini pelbagai program telah dilaksanakan seperti Larian Tok Gajah, program Baucar Raya dan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Perantau Anak Pahang. – KopiPlanet.com
The post 10,000 Anak Pahang Di Perantauan Terima Baucar RM100 Menerusi Program ‘Moh Balik Negeri Pahang’ appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: