Bolehkah Beriktikaf Di Surau Awam?
Alhamdulillah. Segala puji dan syukur kepada Allah kerana telah menyampaikan kita ke gerbang 10 hari akhir pada bulan Ramadan. Bermakna, amal ibadah harus lebih digiatkan bagi misi mencari lailatul Qadar dan juga bagi mengaut semua tawaran pahala yang tersedia.
Antara salah satu amalan yang menjadi kebiasaan Rasulullah SAW dan para sahabat pada 10 hari akhir Ramadan sudah pasti amalan iktikaf. Baginda akan mengejutkan isteri-isterinya untuk melakukan tahajjud dan bermunajat kepada Allah.
Iktikaf dari segi bahasa bermaksud tetap dan tenteram manakala menurut syara’, iktikaf ialah berada di dalam masjid dengan niat tertentu. Iktikaf boleh dilakukan pada waktu siang mahupun malam.
Iktikaf akan dikira sah seandainya memenuhi dua syarat iaitu:
1. Niat
Seseorang perlu berniat pada permulaan iktikaf iaitu berniat berada dalam masjid dalam tempoh tertentu untuk beribadah kerana melaksanakan sunnah.
Orang yang masuk ke masjid dengan niat keduniaan atau tanpa sebarang tujuan, perbuatan tersebut tidak dianggap iktikaf dari segi syara’.
2. Berniat Di Dalam Masjid Dalam Tempoh Yang Dikira Iktikaf Pada Anggapan Umum
Antara syarat lain yang juga termasuk dalam syarat ini ialah harus tetap di dalam masjid, suci daripada janabah, haid dan nifas serta tiada sebarang najis pada pakaian dan badan yang boleh mengotori masjid.
Iktikaf seseorang juga dikira batal jika keluar dari masjid tanpa sebab, namun jika bersebab dan masuk semula ke dalam masjid, iktikafnya masih dikira berterusan.
Bolehkah Melakukan Iktikaf Di Surau Awam?
Berbalik semula kepada persoalan asal – adakah kita boleh beriktikaf di surau awam? Hal ini kerana banyak surau awam atau musolla yang ada di kawasan taman perumahan, di stesen minyak, pusat beli belah dan di stesen-stesen pengangkutan awam seperti bas atau LRT.
Dalam membincangkan perkara ini, kita harus jelas perbezaan antara surau dan masjid. Masjid adalah tempat yang disediakan untuk solat secara berjemaah lima waktu dan juga untuk didirikan solat Jumaat.
Manakala surau atau musolla secara umumnya bukanlah masjid tetapi tempat solat biasa dan lebih kecil berbanding masjid. Di Malaysia, tempat-tempat solat ini biasanya disediakan untuk kemudahan orang yang musafir atau sedang menjalankan urusan dan keperluan harian contohnya di pusat beli belah.
Kerana kedua-duanya berbeza, maka hukum masjid juga tidak sama dengan surau. Contohnya wanita yang dalam keadaan janabah, haid atau nifas tidak boleh berada di dalam masjid sedangkan di surau masih dibolehkan.
Justeru, berada di tempat ini untuk melakukan solat atau ibadah tidak dikira iktikaf. Iktikaf hanya sah dilakukan di masjid sahaja baik untuk lelaki atau perempuan.
Boleh Beriktikaf Di Surau Diri Jumaat
Sungguhpun begitu, di Malaysia, masih ada satu lagi istilah yang digunakan bagi surau yang diberi kebenaran oleh pihak berkuasa untuk mendirikan solat Jumaat. Biasanya ia dibina di kawasan taman perumahan yang ingin dibangunkan atau di kampung-kampung.
Ia dipanggil ‘Surau Diri Jumaat’ kerana menunjukkan bahawa ada didirikan Solat Jumaat di surau tersebut. Surau ini menepati ciri-ciri masjid kerana turut dilaungkan azan, ditunaikan solat lima waktu berjemaah serta mempunyai sistem pentadbirannya tersendiri.
Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali Ke-96 yang telah bersidang pada 24 Februari 2016 telah bersetuju membenarkan ditunaikan solat tahiyyatul masjid di surau diri Jumaat.
Justeru, pihak Mufti Wilayah Persekutuan juga berpendapat bahawa dibolehkan beriktikaf di Surau Diri Jumaat dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan. Walau bagaimanapun, mereka yang berada di luar Wilayah Persekutuan, perlu mengikut fatwa yang telah ditetapkan di negeri masing-masing.
Kesimpulan
Memandangkan kita masih berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sudah tentu kita masih belum dibenarkan untuk ke masjid dan surau untuk mendirikan solat Tarawih secara berjemaah atau beriktikaf sempena 10 hari akhir Ramadan. Manakala, melakukan ibadah di surau-surau awam pula tidak dikira beriktikaf.
Namun, jangan bersedih walau kita hanya mampu melakukan solat di rumah sahaja. Sebagai gantinya, ayuh kita hidupkan suasana di rumah seperti di masjid dan surau iaitu dengan memperbanyakkan amal ibadah seperti membaca Al-Quran, bertadarus, Solat Tarawih, munajat dan bertahajjud.
Semoga kita masih mendapat pahala iktikaf di masjid walaupun tidak dapat berkunjung ke sana. Hal ini kerana pandemik Covid-19 telah menjadi satu bentuk keuzuran yang menghalang kita daripada beribadah di masjid.
Dari Abu Musa R.anhu, Rasulullah SAW bersabda,
إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا
“Jika seorang hamba sakit atau melakukan safar (perjalanan jauh), maka dicatat baginya pahala sebagaimana kebiasaan dia ketika mukim dan ketika sihat.” (HR. Bukhari, no. 2996)
Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
Rumaysho.com
No comments: