Ads Top

Zul Huzaimy Nak Buang Stigma Buruk Orang Pada Mat Motor

Berazam mahu membuang stigma buruk masyarakat terhadap golongan mat motor, pelakon Zul Huzaimy Marzuki, 41, tampil dengan penubuhan sebuah kelab motosikal, Spark Malaysian Club (Spark) yang menghimpunkan golongan mat motor daripada pelbagai latar belakang.

Kelab yang mula ditubuhkan pada penghujung tahun lalu itu setakat ini telah mengumpulkan lebih 4,000 ahli dari serata Malaysia.

“Kalau kita tengok banyak orang sering pandang serong pada golongan mat motor. Mereka akan dicop sebagai mat rempit oleh segelintir masyarakat yang mengaitkan mereka dengan aktiviti negatif itu.

“Disebabkan itu, saya tampil dengan kelab ini bagi membukti mat motor bukanlah mat rempit sebaliknya kami juga punyai visi dan misi dalam kehidupan sama seperti orang lain.

“Untuk kelab Spark ini sahaja kami sudah merancang pelbagai aktiviti menarik dan sihat untuk setiap ahlinya selain kami juga akan mengadakan ekspidisi jelajah ke seluruh negara,” katanya kepada KopiPlanet.com

Zulhuzaimy yang merupakan presiden Spark Malaysian Club ditemui pada majlis pelancaran kelab tersebut yang diadakan di Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah timbalannya, Datuk Farid Kamil serta ikon-ikon selebriti Spark seperti Cat Farish, Mamat Sepah, Kazar dan Dayana Roza.

Hanya menggenakan yuran tahunan sebanyak RM10, Spark akan menjalankan satu acara besar-besaran yang akan berlangsung pada 2 Mac ini iaitu All Riders Gathering (ARG) Spark Malaysian Club di Puteri Harbour, Iskandar Puteri, Johor Bahru.

Menerusi festival itu, pelbagai acara menarik diadakan seperti autoshow, pameran agensi kerajaan, persembahan aksi lasak motosikal serta konsert yang bakal dijayakan Zamani Slam dan kumpulan Sweet Child.

“Kami sudah melakukan jelajah bersama ahli-ahli Spark sejak tahun lalu dan antara negeri yang sudah kami singgah seperti Kedah dan Perak. Untuk ARG Spark ini, kami adakan besar-besaran bagi menghargai setiap ahli kelab dan pelbagai aktiviti sudah dirangka agar dapat menarik minta pengunjung ke sana.

“Banyak manfaat kami berikan kepada ahli kelab antaranya seperti khairat kematian selain pelbagai kursus keusahawanan yang akan diadakan bagi memberi nilai tambah kepada ahli.

“Kami juga tidak lupa untuk melakukan CSR (corporate social responsibility). Akan datang kami akan membawa pelajar-pelajar tahfiz untuk ‘day out’. Kami akan bawa mereka bersiar-siar di sekitar Putrajaya dan KLCC selain meneroka Petronasains dan Aquaria,” kata Zul lagi. – KopiPlanet.com

The post Zul Huzaimy Nak Buang Stigma Buruk Orang Pada Mat Motor appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.