Lelaki Yang Lumpuh Hampir 10 Tahun Akhirnya Menemui Islam
Kisah keislaman Robert Davila ini pernah diceritakan oleh Ustaz Nouman Ali Khan dalam salah satu ceramahnya. Siapakah dia dan mengapa kisah ini patut dijadikan inspirasi?
Robert Davila dilahirkan di Texas pada tahun 1980. Sepanjang membesar, dia bukanlah seorang yang mengamalkan agama. Ketika berumur 20 tahun, kehidupannya berubah seratus peratus apabila terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang membuatkannya lumpuh hampir seluruh badan – dari tengkuk hingga ke bahagian bawah dan perlu bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak.
Dia ditempatkan di salah sebuah pusat jagaan di Texas. Di situ, dia bersahabat baik dengan seorang pesakit lain yang bernama Mark. Namun Mark meninggal dunia apabila mengalami komplikasi ketika pembedahan pemindahan jantung dilakukan. Kakak Mark menghadiahkan tanda salib milik Mark dan Robert meminta ia digantungkan di atas bahagian tempat tidurnya bagi mengingatinya.
Kecewa dengan apa yang terjadi, Robert akhirnya mula mencari Tuhan. Dia mula membaca dan membuat kajian tentang agama-agama yang wujud di dunia seperti Kristian, Hindu dan Islam.
Setelah 10 tahun lumpuh, pada suatu hari ketika tidur, dia bermimpi berdiri di sebuah kawasan padang pasir. Tidak jauh daripadanya ada seorang lelaki yang dikerumuni oleh orang ramai – seperti sedang mendengar khutbah. Ketika itulah lelaki tersebut memandang ke arahnya lalu menunjukkan isyarat ke arah tanda salib yang tergantung lalu berkata;
“Lihat (mengisyaratkan kepada tanda salib), dia juga seorang Nabi. Dia makan, minum dan perlu bersuci seperti kita. Dia bukan Tuhan, hanya Nabi. Maka ikutilah Tuhan…”
Dia tahu bahawa lelaki yang dilihatnya ialah Nabi Muhammad SAW. Apabila terbangun dari tidur, saat itu juga dia mengucap dua kalimah syahadah.
Selepas peristiwa itu, dia mula mempelajari dengan lebih lanjut tentang Islam, tentang Al-Quran dan dalam masa yang sama belajar tentang tafsir Al-Quran melalui video-video Ustaz Nouman Ali Khan. Semakin hari keimanan yang dirasakan semakin teguh.
Sedikit demi sedikit dia menyimpan impian untuk bertemu pendakwah yang dikenali ramai itu. Impian tersebut akhirnya dimakbulkan Allah apabila cerita tentang kisah hidupnya sampai ke telinga Ustaz Nouman Ali Khan melalui perantaraan seorang sahabatnya yang mengikuti kuliah Ustaz Nouman di sebuah masjid.
Dalam pertemuan yang diusahakan oleh Ustaz Nouman Ali Khan (yang melawatnya di pusat jagaan tersebut), Robert sempat memberi ucapan. Akuinya,
“Bukan mudah untuk berpuas hati dalam keadaan saya tidak mampu melakukan apa-apa. Kadang-kadang saya perlu meminta bantuan daripada orang lain, dan ia mengambil masa yang lama. Saya bukanlah seorang yang penyabar. Namun setelah saya menjadi seorang Muslim, saya lebih banyak belajar tentang sabar dan bertenang”
Robert Davila berjaya memeluk Islam meskipun dia hanya tinggal di pusat jagaan – tidak dapat bergerak, tidak dapat melakukan apa-apa aktiviti, malah orang di sekelilingnya tidak ada yang beragama Islam.
Tetapi Allah berkuasa memberi hidayah kepada mereka yang mempunyai hati yang lunak kepada jalan untuk mencari kebenaran. Saat kita mula berpaling kepada Allah, percayalah bahawa Allah akan mula membentangkan jalan kebaikan dan memberi petunjuk kepada kita.
No comments: