Yana Muncul Dengan Single Hati, Anggap Pengalaman Kolaborasi Dengan Yonnyboii Cukup Berharga
Single berbahasa Inggeris, I Need U yang dilancarkan pada Mac lalu sekali berjaya mencuri perhatian pencinta muzik tempatan. Malah, semakin ramai yang mengagumi bakat dimiliki YANA bukan saja sebagai penyanyi, tapi juga pencipta lagu.
Muncul dengan identiti muzik tersendiri sejak di awal pembabitan dalam industri muzik tanah air, YANA yang dahulunya menggunakan nama pentas Shalma Eliana terus melangkah jauh mempertaruhkan kelebihan yang ada pada dirinya.
Biarpun penyanyi baharu muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan, imej dan muzik yang dibawakan YANA meletakkan dirinya ke depan selain yakin dengan percaturan dibuat terutama dari segi lagu-lagu yang dilancarkan.
Selepas beberapa lagu dihasilkan seperti Janji Terindah, Aroma, Rambang, Your Loss dan I Need U, terbaharu YANA muncul dengan single berjudul HATI berkolaborasi dengan komposer dan rapper Yonnyboii.
Lagu bergenre R&B dan reggaeton hasil ciptaan Yonnyboii serta lirik oleh Yonnyboii dan Siqma itu diterbitkan oleh syarikat rakaman Universal Music Malaysia.
YANA, 22, atau nama sebenarnya Shalma Eliana Bruhanutheen berkata, mesej utama yang ingin disampaikan dalam lagu HATI ini adalah menghargai setiap saat yang dilalui bersama seseorang meski pernah disakiti.
“Lagu HATI ini menghuraikan perasaan seseorang yang berasa ragu, tidak tenteram, dan pelbagai duka yang dilalui oleh seseorang. Lagu ini juga menerangkan dan meluahkan rasa kecewa terhadap individu yang tidak pernah mencuba untuk menjaga hati individu lain. Dengan harapan khalayak ramai akan memahami dan menjadi lebih peka dan sensitif menjaga hati mereka yang lain.
“Namun, menerusi lagu HATI ini, mesej utama yang ingin diketengahkan adalah berkompromi untuk seseorang yang sudah menyakiti anda, tetapi anda tahu mereka banyak memikirkan anda dalam hidup dan anda menghargai setiap saat ini. Walaupun disakiti, anda berkompromi untuk keamanan anda sendiri dan sentiasa ada untuk mereka yang memerlukan,” katanya.
Berkongsi lanjut, YANA berkata lagu HATI dihasilkan bersama Yonnyboii dengan memberikan idea agar lagu itu lebih menarik.
“Lagu ini ditulis di tempat Yonnyboii. Saya masih ingat dia mula menulis lagu ini kemudian saya memutuskan untuk menulis bahagian saya kerana saya akan dapat mengaitkannya dengan lebih lanjut. Penulisan lagu lancar kerana saya dan Yonnyboii duduk bersama dan melihat apa yang paling sesuai.
“Gabungan idea dalam menghasilkan lagu HATI ini memberikan satu lagi sentuhan segar agar hasilnya nanti bukan saja sedap didengar, tapi juga mampu menarik perhatian pencinta muzik tempatan dan peminat,” katanya.
Tidak hanya berkolaborasi bersama, YANA menyifatkan bekerjasama dengan Yonnyboii adalah pengalaman yang cukup berharga.
“Proses merakam lagu ini agak menarik. Saya masih ingat memasuki rumahnya dan dia terus cakap ‘Yana record’. Bahagian korus itu adalah satu yang mengujakan. Pastinya sangat menarik dan menyeronokkan.
“Pada saya, Yonnyboii sentiasa menjadi sahabat saya, dan keserasian kami ada dalam bekerjasama. Dia membimbing saya dengan pendapat peribadinya dan kami sepakat bersama. Kami juga sentiasa bersetuju mengenai lagu macam mana yang ingin dihasilkan,” katanya.
Menurut YANA, biarpun berdepan kekangan dari segi masalah kesihatan ketika ingin menghasilkan lagu HATI, YANA tetap bersyukur segalanya dipermudah.
“Saya rasa semuanya berjalan lancar tetapi kami menghadapi masalah sepanjang perjalanan nak menghasilkan lagu ini. Ia berkaitan kesihatan dan lain-lain, tetapi Alhamdulillah kami berjaya menyiapkannya.
“Saya berharap lagu ini dapat memberi mesej yang baik kepada orang ramai. Untuk mengetahui, tidak mengapa bagi anda untuk mengutamakan keperluan anda bagi ketenangan diri. Saya juga berharap orang akan menyukai lagu ini sama seperti kami,” katanya.
Sementara itu, Yonnyboii menyifatkan bekerjasama dengan YANA menerusi lagu HATI ini sesuatu yang menyeronokkan.
“YANA memang sudah lama berkawan dengan saya. Jadi, pembikinan lagu ni agak santai dan semestinya seronok. Dan bahagian korus yang dinyanyikan YANA adalah dari ‘first take’ nyanyiannya. YANA sampai sahaja ke pintu studio kami, kami terus terjah YANA untuk rakam lirik yang kami sudah ditulis.
“Bagi saya, cabaran yang YANA dan saya hadapi adalah penukaran ‘verse’, vokal dan ‘flow’ kerana lagu ini sebenarnya sudah siap tetapi kami susun semula untuk menjadi satu ‘arrangement’ baru.
“Sama macam YANA, saya juga berharap ramai yang boleh layan dan dapat menghayati lagu ‘chill raggaeton’ daripada kami dan ramai yang boleh terima lagu ini,” katanya.
Lagu HATI ini turut mendapat sentuhan Adam Eiman, Freddie Laut dan Adam Luqman selaku penerbit dan Adam Eiman, Freddie Laut, Adam Luqman dan Yonnyboii sebagai ‘arranger’.
Single HATI boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music mulai 22 Julai jam 12 tengah malam manakala lirik videonya pula boleh ditonton di laman YouTube Universal Music Malaysia pada tarikh yang sama jam 9 malam.
The post Yana Muncul Dengan Single Hati, Anggap Pengalaman Kolaborasi Dengan Yonnyboii Cukup Berharga appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: