Saluran Tayangan Maya Milik Kerajaan: Keperluan Yang Kritikal Untuk Ekosistem Perfileman
Baru-baru ini penulis terbaca satu laporan Astro Awani bertarikh 11 Februari 2021 yang bertajuk ‘Kerajaan Perlu Main Peranan Lebih Besar Bantu Industri Kreatif‘ dengan menampilkan ulasan dari ahli industri terkemuka, Sabri Yunus yang mengupas isu SOP dan gesaan kepada kerajaan untuk lebih prihatin kepada industri ini.
Sememangnya penulis sangat setuju dengan gesaan ini dan ini bukan kali pertama pandangan sebegini datang dari ahli industri dalam menyuarakan tentang hak mereka.
Masih berkisar mengenai gesaan kepada kerajaan tetapi saya tidak mahu terikat dengan isu SOP dan kebajikan yang sedang hangat kini tetapi saya ingin menyentuh aspek lain yang juga perlu diperjuangkan dan diambil perhatian oleh kerajaan.
Selain isu yang disebut tadi, industri juga sedang berhadapan dengan lambakan filem-filem tempatan yang masih belum dapat memasuki pasaran.
Ini berlaku kerana kekangan pandemik yang menyebabkan pasaran utama pawagam ditutup. Perkara ini menyebabkan penerbit sangat bergantung kepada saluran altenatif seperti Astro First, Netfix dan lain-lain.
Jika saluran swasta ini tidak dapat menampung semua filem-filem ini, ke mana mereka harus pergi? Ini persoalan yang harus difikir secara kreatif.
Antara cadangan yang penulis ingin lontarkan ialah kerajaan harus mengambil inisiatif untuk menjadi perantara bagi menghubungkan filem-filem ini dengan saluran yang sedia ada bagi penjualan secara atas talian.
Jika ini sukar berlaku maka kerajaan dengan segala pemusatan kuasa yang ada boleh membentuk saluran pawagam maya yang dikendalikan oleh agensi kerajaan mengikut terma-terma seperti pawagam.
Meskipun ia tidak berlanjutan setidaknya ia boleh beroperasi dalam era pandemik ini. Oleh itu, penerbit boleh mula menayangkan filem mereka dan pendapatan boleh dijana. Bukankah ini mampu membantu industri?
Secara peribadi, penulis sangat menghargai usaha kerajaan dalam penyediaan dana produksi dalam apa-apa pun jenama yang dilaksanakan kini, namun kerajaan harus memikirkan pendekataan yang lebih proaktif kerana program dana ini hanya sekadar meleraikan ekosistem yang pertama tetapi mengabaikan ekosistem perfileman yang terakhir.
Akhirnya, berapa banyak pun produksi yang diterbitkan, ianya tidak akan memberikan manfaat secara menyeluruh kepada industri kerana ianya ibarat saluran paip yang tersumbat dan kita asyik memikirkan perbersihan air yang bertakung tetapi tidak menyelesaikan bagaimana untuk meleraikan air ini untuk mengalir semula ke sungai.
Dengan itu, penulis sangat berharap agar kerajaan dapat menggerakkan sesuatu agar isu industri yang melanda ketika ini dapat diselesaikan dengan mengambil-kira semua eskosistem utama perfileman yang melibat Penerbitan, Pengedaran Dan Pemamer.
Namun apapun, tahniah atas pelancaran Pakej Ransangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA). Saya tunggu yang selanjutnya. – KopiPlanet.com
The post Saluran Tayangan Maya Milik Kerajaan: Keperluan Yang Kritikal Untuk Ekosistem Perfileman appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: