Ads Top

Bolehkah Puasa Ganti Sehari Sebelum Ramadan?

Dijadualkan umat Islam di Malaysia akan mula mengerjakan ibadah puasa pada Bulan Ramadan dua hari lagi, pada tanggal 24 April 2020 bersamaan 1 Ramadan 1441 Hijrah.

Selain persoalan bersediakah kita ingin menyambut bulan Ramadan, soalan lain yang menarik untuk ditanya adalah – adakah anda sudah menyelesaikan hutang puasa ganti?

Mungkin masih ada yang berpuasa pada hari ini dan esok bagi menyelesaikannya. Adakah hal ini dibenarkan dalam agama kerana kita mengetahui bahawa tanggal sehari sebelum Ramadan dipanggil hari syak, iaitu hari yang diragui sama ada masih berada dalam bulan Syaban atau telah memasuki Ramadan.

Hadis yang membicarakan hal ini disebutkan oleh Ibnu Hajar dalam Bulughul Marom (hadis no. 650) sebagaimana berikut:

Dari Abu Hurairah R.anhu, ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda,

لاَ تَقَدَّمُوا رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ وَلاَ يَوْمَيْنِ إِلاَّ رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمًا فَلْيَصُمْهُ

“Janganlah kalian berpuasa satu atau dua hari sebelum Ramadan kecuali seseorang yang punya kebiasaan puasa, maka bolehlah ia berpuasa.” (HR. Bukhari no. 1914 dan Muslim no. 1082)

Maksud daripada hadis ini adalah tidak boleh (haram) berpuasa sehari atau dua hari sebelum tiba Ramadan melainkan ada keperluan atau jika seseorang itu biasa berpuasa sunat. Contohnya kebetulan hari yang biasanya dia berpuasa (contoh hari Isnin) jatuh pada hari terakhir dalam bulan Syaaban, maka dibolehkan. Ia adalah hadis yang disepakati kesahihannya oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim.

Boleh Menggantikan Puasa Sehari Atau Dua Hari Sebelum Ramadan

Bagi orang yang ingin menunaikan puasa wajib seperti puasa nazar, kafarah atau puasa ganti pula, hukumnya juga masih dibolehkan dan tidak termasuk dalam larangan hadis di atas.

Selain daripada alasan-alasan tersebut, ianya tidak dibolehkan.

Antara hikmah larangan ini kerana ingin berhati-hati dalam penentuan tanggal Ramadan. Selain itu, ia juga dapat membezakan antara puasa wajib dan puasa sunat yang dilakukan. Memisahkan antara amalan yang wajib dan sunat juga suatu yang disyariatkan dalam Islam. Wallahua’lam.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan




No comments:

Powered by Blogger.