7 Adab Dalam Berpakaian
Islam menyuruh kita untuk menjaga adab-adab dalam berpakaian. Bukan sahaja adab dalam berpakaian tetapi adab dari segala aspek dalam kehidupan kita.
Begitu sempurnanya Islam dalam mengatur kehidupan kita supaya kita dipandu menuju ke jalan yang betul. Kini, pelbagai fesyen baru yang bertebaran. Fesyen yang berleluasa dengan pantas dan bermacam gaya menjadi kebanggaan setiap insan terutamanya wanita yang mementingkan kecantikan.
Namun, kecantikan yang dibanggakan telah menyebabkan banyak langkah tersasar sehingga melepasi adab-adab berpakaian. Dilihat cantik di mata rupanya menambah dosa di ‘bank’ akhirat kita. Nauzubillah minzalik.
Insha Allah, artikel ini akan mengupas beberapa adab dalam berpakaian. Semoga dapat menjadi panduan untuk kita semua agar cara berpakaian kita tidak mengundang kemurkaan Allah SWT.
#1- Berpakaian Dari Sumber Yang Halal
Daripada sumber manakah kita membeli dan memperoleh pakaian kita? Dalam soal rezeki, kita perlulah mencari rezeki dari sumber yang halal.
Pendapatan yang halal akan membawa keberkatan dalam kehidupan kita. Oleh itu, peliharalah diri daripada mencari rezeki yang haram. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman.”Surah al-Maidah 5:88
Walau pakaian kita telah mematuhi adab-adab berpakaian dalam Islam, itu bukan bermakna kita boleh menghalalkan rezeki yang haram.
Oleh itu, marilah sama-sama kita menitikberatkan soal pendapatan kita. Janganlah terjebak dalam lembah rezeki yang haram.
#2- Berpakaian Yang Menutup Aurat
Menutup aurat adalah satu kewajipan kita sebagai umat Islam. Janganlah kita berpakaian yang mencolok mata hingga menjadikan diri kita terdedah dengan dosa dan berlakunya maksiat.
Dalam isu ini ada dua pihak yang terlibat iaitu lelaki dan wanita. Kebanyakkan lelaki akan menyalahkan wanita kerana secara ‘percuma’ mendedahkan aurat hingga berlakunya pelbagai kes jenayah.
Manakala kebanyakkan wanita pula menuding jari kepada lelaki serta menyatakan lelaki yang bersalah kerana lelaki tidak pandai menjaga mata.
Jika masing-masing tidak mengakui kesalahan sendiri sampai bilalah ia tidak akan berakhir. Sebenarnya kaum lelaki dan kaum wanita ada tanggungjawab sendiri. Di dalam al-Quran sudah tercatat jelas berkaitan perintah menundukkan pandangan dan juga menjaga kehormatan diri.
Tegasnya, marilah kita menutup aurat tidak kiralah lelaki mahupun wanita. Janganlah berpakaian terlampau ketat dan sendat. Bagi wanita, labuhkan kain tudung hingga menutupi dada. Semoga kita semua terhindar daripada segala perkara yang tidak diingini.
#3- Tidak Berpakaian Yang Menyerupai Jantina Lain
Lelaki dan wanita ada bezanya dalam berpakaian. Bagi lelaki tidak boleh berpakaian yang menyerupai kaum wanita. Begitu jugalah bagi kaum wanita tidak boleh meniru gaya berpakaian orang lelaki. Daripada Ibnu Abbas R.A., beliau berkata:
“Rasulullah S.A.W melaknat orang lelaki yang menyerupai wanita dan (melaknat) para wanita yang menyerupai lelaki.”Hadis riwayat Bukhari
Pada hadis yang lain yang membawa maksud yang sama, Daripada Abu Hurairah R.A., dia berkata;
“Rasulullah SAW melaknat orang lelaki yang berpakaian wanita, dan (melaknat) wanita yang memakai pakaian lelaki.”Hadis riwayat Abu Dawud
Berpakaianlah mengikut adat kebiasaan sebagai seorang lelaki dan seorang wanita. Masing-masing mempunyai gaya yang berbeza.
Oleh itu, jauhilah daripada meniru cara bercakap, cara berpakaian, dan cara berjalan orang yang berlainan jantina dengan kita.
#4- Tidak Menyerupai Agama Lain
Tokoh hadis dan imam Mazhab Syafie, Imam Ibn Hajar al-Haytami al-Makki dalam kitabnya al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra dalam bab al-Riddah (Murtad) menyebut, menyerupai kaum kafir terbahagi kepada tiga hukum iaitu:
Pertama: Apabila ada unsur reda dengan kekafiran mereka maka hukumnya haram dan jatuh kafir.
Kedua: Apabila ada unsur meninggikan syiar agama bukan Islam, tetapi tiada niat reda dengan kekufuran mereka, hukumnya haram dan berdosa.
Ketiga: Apabila tiada niat untuk menyerupai sama sekali, maka hukumnya harus.
Daripada syarah Imam Ibn Hajar al-Haytami ini dapatlah kita fahami bahawa menyerupai kaum kafir ada diharamkan dan diharuskan.
Diharamkan dalam Islam apabila kita meniru, menyerupai amalan atau perbuatan membabitkan amalan khusus ajaran agama bukan Islam dan meninggikan syiar agama mereka.
Jika sesuatu pakaian yang tidak dikhususkan bagi agama lain maka tidaklah mengapa. Yang tidak boleh dan diharamkan adalah meniru dalam pakaian khusus agama mereka seperti pakaian paderi dan pakaian ibadat mereka.
Antara Adab Lain Dalam Berpakaian
1. Mulakan Dari Anggota Sebelah Kanan
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
“Apabila kamu memakai pakaian hendaklah kamu memulakannya dengan anggota kanan.”Hadis riwayat al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah
2. Mulakan Dengan Membaca Basmallah
Dianjurkan untuk kita membaca basmallah sebelum melakukan sesuatu pekerjaan dan aktiviti.
3. Berpakaian Bukan Bertujuan Sombong
Janganlah berpakaian cantik semata-mata ingin menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Jauhilah sifat sombong kerana ia akan membinasakan kita.
Waallahu a’lam.
Rujukan:
1. Amalan 24 jam Dalam Kehidupan Rasulullah S.A.W (Penulis: Zulkarnain Dollah)
2. Adab-Adab Berpakaian
3. Berita Harian
No comments: