Keluarga Iskandar The Movie Buat Anita Baharom Menanti
Apabila menyebut sahaja mengenai siri popular televisyen Keluarga Iskandar yang pernah ditayangkan di Astro Prima serta Astro Warna selama dua musim, sudah pasti ianya menjadi bualan ramai peminat yang menantikan sambungannya pada musim ketiga.
Bagaimanapun, untuk musim seterusnya ia tidak dapat dilanjutkan, sebaliknya drama bersiri popular itu kini bakal diadaptasi ke dalam bentuk filem.
Berikutan itu, penantian tersebut bukan sahaja dirasai oleh para peminat malah turut dinantikan oleh pelakon drama komedi berkenaan iaitu Anita Baharom yang telah memegang watak sebagai Azura pada musim pertama.
Menurut Anita, penantian tersebut sangat panjang, namun dirinya tetap bersyukur apabila ditawarkan semula berlakon menerusi adaptasi siri televisyen tersebut kepada filem dalam Keluarga Iskandar The Movie.
“Penglibatan saya sebagai watak Azura atau Makteh semasa Keluarga Iskandar musim pertama. Namun begitu, pada musim kedua saya tidak terlibat disebabkan ketika itu tengah sarat mengandung.
“Ya… penantian yang sangat panjang saya rasakan, tetapi syukur alhamdulillah saya kembali berlakon menerusi filem Keluarga Iskandar The Movie”, katanya kepada KopiPlanet.com.
Anita ketika ditemui pada majlis pelancaran Keluarga Iskandar The Movie yang diadakan di Platinum Lounge, MMCineplexes ECurve, Mutiara Damansara semalam.
Sementara itu, Anita turut mengulas bahawa dirinya sedikit gementar dan takut untuk kembali berlakon apabila hampir tiga tahun tidak membuat kemuculan dalam bidang berkenaan.
“Saya sebenarnya rasa gugup dan takut sebab sudah lama tidak berlakon. Malah, kali terakhir saya berlakon adalah pada tahun 2016.
“Kalau ikutkan saya rasa berbelah bahagi sebab dalam bidang seni ini apabila sudah berlakon orang akan berterusan panggil kita dan kadang-kadang apabila kita tolak, orang cakap kita sudah tidak berlakon. Saya takut macam itu apabila saya tolak orang sudah tidak panggil saya berlakon”, ujarnya.
Namun demikian, Anita senang mengakui dirinya kini sudah bersiap sedia bagi menerima mana-mana tawaran untuk memulakan kembali aktiviti seninya selepas sekian lama tidak muncul kerana lebih memberi fokus kepada keluarga.
Dalam Pada itu, apabila diminta mengulas mengenai akaun Instagramnya yang telah dikunci (private) Anita secara ringkas menjawab ia dilakukan mengikut kehendak hati dan perkara tersebut tiada kaitan dengan mana-mana pihak. – KopiPlanet.com
Artikel oleh: Fatin Marzuki
Pelajar Praktikal Uitm Puncak Perdana
No comments: