Jika Kau Bercinta Lagi, Cintailah Sepenuh Hati (Siri 2)
Sambungan Jika Kau Bercinta Lagi, Cintalah Sepenuh Hati (Siri 1)
Teruskan Berjalan Dan Pandang Ke Hadapan
Ada satu istilah bahasa Inggeris yang dinamakan ‘sonder’, bermaksud satu perasaan mendalam (profound feeling) mengenai kesedaran kita bahawa setiap insan, termasuk orang yang tidak dikenali, mempunyai kehidupan masing-masing yang kompleks.
Ya, apa yang membentuk diri kita hari ini adalah berdasarkan kehidupan yang berlalu. Namun, yang membimbangkan ialah jika kita turut mengheret kisah lalu untuk datang pada masa kini dan membuka luka lampau disebabkan masih lagi teringat penderitaan lepas.
Muslim yang baik menjadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran bukannya satu hukuman kepada dirinya sekarang.
Apabila ingin berkenalan dengan seseorang, usahlah terus hukum insan tersebut tanpa sempat mengenalinya. Hati kita masih lagi belum ‘move on’ dan berpura-pura di hadapan insan tersebut.
Malah ada yang lebih parah apabila hati belum terubat tetapi memilih untuk bersama orang lain. Lalu, apabila situasi tertentu berlaku, terus ditinggalkan insan tersebut atas kepentingan peribadi menjadikan mereka sekadar tempat persinggahan semata-mata.
Orang sebut, inilah dinamakan sebagai ‘rebound love’. Menjadi tempat persinggahan emosi dan pengharapan.
الْمُؤْمِنُ أَخُو الْمُؤْمِنِ فَلَا يَحِلُّ لِلْمُؤْمِنِ أَنْ يَبْتَاعَ عَلَى بَيْعِ أَخِيهِ وَلَا يَخْطُبَ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ حَتَّى يَذَرَ
“Seorang mukmin itu saudara mukmin yang lain. Oleh kerana itu seorang mukmin tidak boleh membeli sesuatu yang masih dalam penawaran saudaranya, juga tidak boleh meminang perempuan yang telah dipinang oleh saudaranya kecuali jika dia telah meninggalkannya”Riwayat Muslim
Muslim yang baik menganggap orang lain sebagai saudaranya dan tidak tergamak untuk mengkhianatinya. Begitulah akhlak yang diajarkan Rasulullah kepada kita.
Tetapi hari ini betapa ramai yang sewenang-wenangnya mempermainkan hati, perasaan, malah maruah seseorang hanya untuk kepuasan nafsu sendiri sahaja.
Oleh itu, sebelum memasuki mana-mana hubungan, eloklah dengan wajarnya bermuhasabah adakah benar-benar ini yang kita mahukan.
Adakah kita bersedia untuk tetap jalan ke hadapan meskipun kenangan lalu memanggil-manggil kita. Pastikan kita tidak akan kembali pada jalan yang lampau apabila sudah memilih seseorang sebagai pasangan.
Berjalanlah terus tanpa memikirkan apa yang bakal terjadi sentiasa. Nikmati saat masa kini (present). Cintai seseorang pada masa itu seadanya, jika fikiran kita menerawang akan masa lalu dan apa yang bakal berlaku, tarik nafas sedalamnya dan hayati dengan penuh makna nikmat masa kini yang sedang berlaku.
Bersama Membentuk Pemikiran Sekufu
Beberapa ketika lalu Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli, ada menulis tentang tanggungjawab sebuah perkahwinan. Antara salah satu nasihat beliau ialah diambil daripada ajaran Nabi bahawa memilih individu yang sekufu dengan kita.
تَخَيَّرُوا لِنُطَفِكُمْ وَانْكِحُوا الأَكْفَاءَ وَأَنْكِحُوا إِلَيْهِمْ
“Hendaklah kalian membuat pilihan bakal isteri yang terbaik untuk bakal zuriat kalian, hendaklah kalian berkahwin dengan yang sekufu, dan kahwinkanlah mereka dengan perempuan yang sekufu.”Riwayat Ibn Majah
Ini menarik perhatian kerana saya pernah terbaca bahawa beberapa kajian telah dilakukan di beberapa negara luar berkenaan hubung kait antara ciri persamaan pasangan dan tahap kebahagiaan mereka.
Menurut kajian-kajian tersebut, membuktikan terdapat kaitan positif antara sekufu dan kebahagiaan rumah tangga.
Courtney Walsh dan Lisa Neff dari University of Texas menyatakan pasangan yang punyai ‘identity fusion’ lebih yakin pada hubungan mereka dan mampu menghadapi konflik rumah tangga dengan baik.
‘Identity fusion’ dalam kajian mereka itu bermaksud sejauh mana pasangan tersebut mempunyai perasaan identiti yang sama, atau dalam kata mudah ialah perasaan seperti dalam pasukan yang sama.
Secara logik, untuk mempunyai rasa ini, kita perlu terlebih dahulu punyai cara fikir yang sama tentang kehidupan, perkahwinan dan perspektif pasangan. Masing-masing sudah maklum akan peranan dan tanggungjawab untuk hidup berpasangan.
Demikian, sebelum memilih untuk bercinta pastikan kita sedar akan seseorang itu. Adakah dia sekufu dengan kita atau ‘out of league’. Saya perasan di media sosial, perkara ini kadangkala timbul. Kita lebih gemar merasa ‘out of league’ berdasarkan paras rupa dan gaya hidup.
Namun, itu tidaklah sepenuhnya salah. Bagi saya, ada benarnya untuk tahu ‘cermin diri’ supaya kita tidaklah kecewa atau pun terlalu yakin. Cuma, jika sekadar paras rupa dan gaya hidup itu tidaklah cukup untuk menentukan tahap sekufu kita dengan seseorang.
Apa yang lebih penting ialah bentuk pemikiran dan cara melihat hidup (worldview). Tidak salah untuk berlainan darjat tetapi fikiran dan hala tuju sama.
Tetapi jika darjat sama, hala tuju pula berlainan itu pun tidak memberi ketenangan dalam berpasangan. Contoh seseorang yang inginkan gaya hidup baik beragama manakala seseorang pula lebih gemarkan gaya hidup bebas.
ثَلاَثَةٌ حَقٌّ عَلَى اللَّهِ عَوْنُهُمُ الْمُجَاهِدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالْمُكَاتَبُ الَّذِي يُرِيدُ الأَدَاءَ وَالنَّاكِحُ الَّذِي يُرِيدُ الْعَفَافَ
“Tiga golongan yang Allah menetapkan atas diri-Nya untuk membantu mereka: Orang yang berjihad pada jalan Allah, hamba yang mukatab yang ingin membayar harga tebusannya dan orang yang berkahwin dengan sebab mahu menjaga kehormatan dirinya”Riwayat Tirmizi
Semalam saya ada menonton animasi bertajuk Kimi no Suizou wo Tabetai atau dalam bahasa Inggeris, I Want To Eat Your Pancreas, adaptasi daripada novel tulisan Yoru Sumino.
Apa yang menarik bagi saya adalah babak apabila Haruki bertanya kepada Sakura apabila melawatnya di hospital;
“What does living mean to you?”
Lantas Sakura menjawab bahawa apabila dia boleh berhubung dengan orang lain. Itulah yang memberi makna pada hidupnya, bahawa dia tidak seorang dan berhubung bersama orang lain dengan baik.
Ini mengingatkan saya pada kajian Robert Waldinger berkenaan kebahagiaan seseorang dalam hidup adalah bergantung pada hubungannya dengan insan-insan lain.
Sebelum ingin berpasangan, ada baiknya tiap dari kita tepuk dada dan tanya diri kita kembali apa yang sebenarnya kita mahukan dalam hidup dan apa pandangan kita tentang hidup.
Kerana berdasarkan hadis di atas ini, Allah akan membantu mereka yang ikhlas untuk berkahwin hidup berpasangan.
Bercinta bertahun-tahun pun jika tiada perancangan untuk menghalalkan hubungan, lebih baik tidak perlu untuk dimulakan pun hubungan itu. Semoga rencana ini memberi manfaat kepada para pembaca sekalian.
No comments: