Budaya ‘Single’ Toksik
Seringkali apabila kita melayari media sosial kita akan nampak satu budaya yang tidak begitu baik untuk dijadikan contoh.
Budaya seperti ‘test market’ adalah menggambarkan bahawa seolah-olah single itu adalah fasa yang teruk dan begitu kasihan.
Contohnya apabila tiba musim perayaan kita perhatikan anak muda suka menaikkan di media sosial satu gambar diri dia bersama tiang, kereta atau apa sahaja dan menulis status yang menggambarkan diri dia seorang yang kesunyian dan tidak berpasangan.
Bila orang datang menjengah dan menegur di bahagian mesej dia tolak orang mentah-mentah. Katanya;
“Sekadar suka-suka”
Walhal ini memberi kesan yang tidak baik iaitu budaya suka menguji orang lain untuk mengorat dirinya dan dia pula cuba jual mahal.
Bila difikirkan semula untuk apa. Inilah budaya yang tidak matang yang selalu berlegar di sekeliling kita.
Social Validation
Budaya ini mula ramai lakukan kerana lemahnya mereka tentang kepentingan menghargai diri sendiri.
Bagi sebahagian masyarakat fasa single adalah fasa yang teruk dan begitu sunyi walhal inilah peluang untuk kita susun jadual kehidupan yang lebih kemas dan teratur.
Sebab masa kita begitu banyak tentang diri kita semata-mata maka sudah tentulah masa tersebut boleh digunakan sebaiknya untuk melakukan pelaburan diri dari sudut ilmu, kesihatan dan kemandirian diri.
Mengapa budaya seperti ini seperti menjadi kebiasaan? Pada hemat penulis, budaya ini menjadi kebiasaan kerana kita begitu melayan ayat-ayat tular di media sosial seperti contoh tanda pagar (hashtag) #ForeverAlone dan seumpamanya.
Entah siapa yang asaskan pun saya tidak mengetahuinya. Apabila ayat sebegitu sudah biasa diterapkan dalam minda anak muda dalam suatu komuniti maka seluruh komuniti akan meletakkan satu kod perhubungan iaitu single pasti sunyi, pasti sedih dan amat menyedihkan.
Bila budaya suka merengek sedih sebab tiada siapa mahu bersama atau belum berpunya lagi maka muncul satu budaya toksik lagi dengan melakukan perbuatan tidak matang seperti social validation tadi.
Mula meratap dan mengadu sedih kenapa diri mereka masih single kononnya single itu boleh membunuh diri dia.
Saya terfikir, kalau betul ada hubungan yang seperti diletakkan aras oleh masyarakat itu membahagiakan mengapa penyanyi vocal Linkin Park iaitu Chester Benington mati bunuh diri akibat depresi.
Walhal beliau memiliki isteri dan enam orang anak malah ada harta yang berjuta-jutaan dolar. Sangat naif bila ada lagi pemikiran yang cuba meletakkan single itu pasti sunyi dan sedih.
Kalau kita baca isu-isu berkenaan penyakit depresi kita dapati bukan masalah ‘in relationship or not’ namun masalah yang ketara ialah bila sekeliling tidak membantu diri dia untuk mengurus emosinya yang celaru.
Bila kita gagal mengurus stress. Bila kita gagal mengurus kegagalan dalam hidup dan seumpamanya. Semua itu soal bagaimana kita mengurus emosi, bukan soal ada hubungan ataupun tidak.
Beza Antara Seorang Diri Dan Kesunyian
Menurut seorang ahli Klinikal Psikologi bernama Ben Martin dalam satu artikel beliau di laman sesawang PsychCentral bahawa seorang yang berseorangan tidak semestinya dia kesunyian.
Contohnya orang yang single gunakan masa yang terluang untuk menguruskan haiwan peliharaannya, bersenam, menulis, serta melakukan hobi dalam hidup dengan cukup menggembirakan dan produktif.
Ada juga kes yang mana orang yang sudah berkahwin namun sering dirudung masalah kesunyian kerana ketidakmampuan dirinya mengurus bagaimana untuk berhubung dengan manusia lain.
Konflik emosi ini sering berlaku bila kita gagal belajar bagaimana hendak sesuaikan diri dengan orang lain atau bersama dengan orang yang benar-benar berkualiti. Bersama dengan orang yang memahami aspirasi hidup kita dan kita berasa dipenuhi dari segenap aspek.
Masyarakat kebanyakannya kurang terdedah dengan kajian personaliti dan lebih sukakan ayat tular yang toksik sifatnya seperti #ForeverAlone.
Mengapa kita tidak tukar sahaja kepada #SingleBerkualiti bukankah lebih membantu orang single ini semua memanfaatkan waktunya yang sementara ini.
Kadang-kadang ada juga yang beranggapan seorang yang berwatak introvert itu sinonim dengan ‘loneliness’ walhal menurut ilmu kajian personaliti manusia ini kebanyakannya akan ada tiga watak iaitu ambivert, ekstrovert dan introvert.
Ambivert: Boleh bergaul dengan ramai orang dalam suasana hiruk pikuk dan boleh jadi seorang yang perlukan ‘me time’ iaitu berseorangan.
Ekstrovert: Seorang yang gemar berada dalam lingkungan ramai orang. Dia sukar biasakan diri bila seorang diri.
Introvert: Seorang yang banyak bergerak solo dan agak janggal untuk sesuaikan diri di dalam satu suasana ramai orang.
Sekalipun seseorang itu berwatak introvert tidaklah bermaksud dia seorang yang sunyi, dia hanya kurang progresif dalam berkomunikasi namun dia masih lagi memiliki kepetahan idea dan hujah selalu dalam bentuk penulisan. Nabi bersabda:
قال رجلٌ : أيُّ الناسِ أفضلُ ؟ يا رسولَ اللهِ ! قال : مؤمنٌ يجاهد بنفسِه ومالِه في سبيلِ اللهِ قال : ثم من ؟ قال : ثم رجلٌ مُعتزلٌ في شِعبٍ من الشِّعابِ . يعبد ربَّه ويدَعُ الناسَ من شرِّه
“Seseorang bertanya kepada Nabi: ‘Siapakah manusia yang paling baik wahai Rasulullah?’ Nabi menjawab: ‘Orang yang berjihad dengan jiwanya dan hartanya di jalan Allah’. Lelaki tadi bertanya lagi: ‘kemudian siapa?’. Nabi menjawab: ‘kemudian orang yang mengasingkan diri di lembah-lembah demi untuk menyembah Rabb-nya dan menjauhkan diri dari kerosakan masyarakat”Riwayat Bukhari dan Muslim
خَيْرُ الناسِ في الفِتَنِ رجلٌ آخِذٌ بِعِنانِ فَرَسِه أوْ قال بِرَسَنِ فَرَسِه خلفَ أَعْدَاءِ اللهِ يُخِيفُهُمْ و يُخِيفُونَهُ ، أوْ رجلٌ مُعْتَزِلٌ في بادِيَتِه ، يُؤَدِّي حقَّ اللهِ تَعالَى الذي عليهِ
“Sebaik-baik manusia ketika berhadapan dengan hal yang merosakkan diri (fitnah) adalah orang yang memegang tali kudanya menghadapi musuh-musuh Allah. Ia menakutkan mereka, dan mereka pun menakutkan kembali. Atau seseorang yang mengasingkan diri ke lereng-lereng gunung, demi menunaikan apa yang menjadi hak Allah”Riwayat al-Hakim
Kata Imam al-Nawawi:
“Yang lebih rajih (pendapat terpilih) adalah menjelaskan lebih dalam isu bergaul dengan masyarakat yang teruk, bagi orang yang menyangka dengan kuat bahawa ia tidak akan ikut terjerumus dalam maksiat. Bagi orang yang ragu ia akan ikut bermaksiat atau tidak, maka yang lebih utama baginya adalah uzlah. Sebahagian ulama mengatakan, keputusannya bergantung pada keadaan tertentu”Syarah Sahih Muslim
Kadang-kadang ada baiknya menjadi single berkualiti daripada kita terus terjerumus ke dalam lembah kemaksiatan bersama orang yang bersifat toksik dan menjauhkan kita dari nilai kebaikan moral dan agama.
Kita jangan bermudah terikutkan budaya social validation yang bakal memberi nilai harga diri yang murah di mata orang lain.
Jadilah seorang yang single bergaya, berkualiti dan memberi manfaat kepada orang lain. Bukannya merengek kerana kononnya seorang diri ini begitu sedih.
Percayalah, selagi kita belum benar-benar kenal diri dan hargai diri kita tidak akan merasai bahagia dari dalam hati kerana kebahagiaan kita bergantung pada kewujudan orang luar.
Perkara yang amat lucu untuk difikirkan ialah bila kita cuba dapatkan bahagia dari manusia lain. Tahukah pembaca sekalian, dalam hidup ini ada perkara yang kita tidak mampu kawal iaitu manusia.
Kita tidak boleh ubah sesiapa pun atas muka bumi ini melainkan Allah yang ubah hatinya, kita hanya boleh kawal reaksi kita, komunikasi kita, bahasa tubuh kita dan seumpamanya.
Kita tidak boleh mengawal orang lain. Maka manusia berubah, kita perlu mengubah diri kita dahulu sebelum kita disayangi oleh sesiapa.
No comments: