‘Work From Home’ Tapi ‘Perform’
Pandemik dan Gaya Kerja
‘Bekerja Dari Rumah’? wah, seronoknya! Itu mungkin persepsi segelintir daripada kita apabila mendapat ‘Work From Home’ daripada majikan. Ketika sedang menarik nafas lega kerana memikirkan kenikmatan tidak lagi perlu bergegas ke pejabat dan melakukan kerja di tempat kerja, nanti dulu!. Fikirkan beberapa perkara yang ingin disebutkan dalam perkongsian ini.
Sebenarnya ‘Work From Home’ bukanlah suatu terma yang baharu bagi sebilangan pekerja. Sejak daripada dahulu lagi sudah terdapat syarikat swasta mahupun kerajaan yang melaksanakannya. Namun, dengan perlaksanaan PKP, WFH atau ‘Bekerja Dari Rumah’ sudah menjadi norma baharu bagi sesetengah pekerja.
‘Berkerja dari rumah’ memerlukan pekerja mengubah gaya baharu bekerja sesuai dengan tujuan menyelesaikan tugas seperti yang diminta oleh majikan. Di sini, timbul persoalan adakah kita benar-benar menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan ketika berada di rumah. Adakah kita benar-benar menjalankan tugas semasa di rumah dengan cekap dan efisen seperti mana yang diharapkan majikan?
Konsep Bekerja dari Rumah
‘Bekerja dari Rumah’ (BDR) tidak mengikat pekerja dengan masa bekerja (waktu pejabat) dan ia memberi kebebasan kepada pekerja untuk mengatur jadual pekerjaan masing-masing. Waktu kerja yang fleksibel dan tidak perlu ke pejabat memberikan keseimbangan kepada pekerja antara kerja dan rutin harian serta tanggungjawab kepada keluarga, terutama kepada kaum wanita.
Bekerja dari rumah juga dikenali sebagai ‘Teleworking’ iaitu bekerja melalui talian internet. Selari dengan perkembangan teknologi komunikasi, ‘Teleworking’ membawa impak yang baik terhadap industri dan perniagaan. BDR juga dikenali dengan ‘Flexible Working Arrangement’ yang menawarkan mod pekerjaan dengan ciri-ciri masa yang fleksibel, bekerja melalui talian internet, bekerja dari rumah dan bekerja separuh masa (di rumah).
Walau bagaimanapun, WFH dikatakan akan membawa kesan buruk kepada ekonomi sesebuah negara kerana ketidakhadiran pekerja yang disedari majikan menjadikan pekerja tidak produktif kepada masa bekerja secara optimum.
Namun demikian, tidak boleh salahkan kepada pekerja sahaja. Kita harus ingat konsep baharu ‘Bekerja dari Rumah’ berlaku secara drastik akibat pandemik, ketika kemudahan dan persekitaran yang menyokong WFH masih belum membantu pekerja bekerja secara cekap secara dalam talian.
Sebagai contoh, ketiadaan liputan rangkaian internet yang stabil dan pantas dan ketidakcekapan sistem untuk mengurus pekerjaan tidak dapat membantu pekerja menyelesaikan tugas dengan lancar. Ada sedikit tips yang ingin penulis kongsikan di sini.
Etika Kerja ‘Bekerja dari Rumah’
1. Bertanggungjawab
Dalam Islam, seorang individu bertanggungjawab atas perbuatan mereka sendiri dan akan disoal oleh Allah di akhirat atas apa yang dilakukan. Al-Qur’an menyebut,
“Dan kamu pasti akan diminta untuk menanggung segala apa yang kamu lakukan” (An-Nahl: 93).
Pekerja yang gagal melaksanakan tanggungjawab apabila dibenarkan bekerja dari rumah boleh dianggap mengingkari tugas. Pengurangan dalam waktu bekerja boleh dikaitkan dengan tindakan mencuri masa, mungkin termasuk dalam perbuatan ‘curi tulang’.
Pada asasnya, bekerja dari rumah memerlukan pekerja jarak jauh ‘Remote employees’ yang harus memiliki kemudahan-kemudahan seperti telefon pintar, ,aplikasi sembang dan persidangan digital atau ruang kerja khusus. Hal yang demikian penting bagi mewujudkan iklim dan kemudahan yang sesuai untuk bekerja. Harus diingatkan kepada majikan, dalam suasana pandemik, ‘makna melakukan ‘kerja’ dalam terma WFH lebih bergantung kepada tafsiran ke atas hasil kerja yang boleh disiapkan, bukanlah masa pekerja duduk membuat pekerjaan.
2. Ihsan
Ihsan adalah kepercayaan yang jitu dan tahap tertinggi dalam iman seorang Muslim terhadap kewujudan Allah. Konsep ihsan bukan hanya terikat dalam ibadah khusus seperti solat atau puasa sahaja, malah ihsan terpakai dalam semua aktiviti dalam kehidupan seharian
Pekerja yang mempunyai nilai ihsan akan mengutamakan kualiti pekerjaan ketika bekerja di rumah. Mereka memberi komitmen tinggi terhadap pekerjaan kerana menyedari bahawa Allah sedang memerhati dan menilai pekerjaan mereka., Nabi S.A.W berkata, “Bahawa sesungguhnya kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Tetapi jika anda tidak dapat melihat-Nya, yakinlah bahawa Allah sentiasa melihat anda ”(Sahih Al-Bukhari).
3. Amanah
Nabi S.A.W bersabda: “Tidak ada iman bagi orang yang tidak amanah” (Sahih Muslim).
Bekerja dari rumah bukanlah lesen untuk bebas melakukan aktiviti yang tidak berkaitan dengan pekerjaan hakiki. Pekerja hendaklah berada di ‘stesen kerja’ mereka pada waktu pekerjaan dan haruslah menyelesaikan tugas dalam jangka masa yang ditentukan serta mengikut keutamaan. Allah berfirman;
“Beramalah kamu, maka Allah akan memerhatikan pekerjaanmu, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman: kemudian kamu akan dikembalikan kepada-Nya. Dia yang mengetahui perkara ghaib dan nyata: Dia akan mengkhabarkan atas apa yang telah kamu kerjakan ”(Al-Taubah: 105).
Justeru, seorang pekerja yang bertanggungjawab, ihsan dan amanah akan melakukan pekerjaan dengan berkesan dan berhasil tanpa mengira keadaan dan situasi yang dihadapinya. Cara melakukan hanyalah suatu tatacara yang boleh sahaja berubah mengikut perubahan masa, tempat dan persekitaran, namun matlamat dan niat dalam melakukan pekerjaan hendaklah diniatkan sebagai suatu ibadah, Insyallah beroleh pahala dan kebaikan.
The post ‘Work From Home’ Tapi ‘Perform’ first appeared on Tazkirah.
No comments: