Selepas Lebih Setahun, Awal Ashaari Akhirnya Sah Tinggalkan Rancangan Melodi, Ralat Diberi Notis Dua Minggu
Pengacara popular, Awal Ashaari akhirnya sah meninggalkan rancangan Melodi selepas bergandingan selama lebih setahun bersama Janna Nick.
Bagaimanapun, dalam posting di Instagram, Awal meluahkan rasa terkilan apabila hanya diberi notis dua minggu untuk meninggalkan program tersebut.
Ujarnya, dia hanya diberikan masa dua minggu untuk menghabiskan dua episod terakhir sebelum Melodi memperkenalkan hos baharu mereka pada minggu ini.
“Dua minggu yang cukup sugul bagi saya. Ikutkan hati nak berdiam sahaja, tapi memandangkan ramai yang dah bertanya, tak baik pula membiarkan peminat dan rakan media berteka-teki.
“Semalam 23 Julai merupakan hari terakhir saya bersama program Melodi. Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, kami bersiaran secara virtual dan petang semalam merupakan rakaman saya yang terakhir bersama Janna di rumah kami masing-masing.
“Pihak stesen mengambil keputusan untuk menggantikan pengacara sedia ada dengan inhouse talent (pengacara dalaman) yang bernaung di bawah pengurusan Media Prima bermula Ogos depan,” tulisnya.
Akui Awal, dia benar-benar terkejut mengenai notis pemberitahuan yang langsung tidak pernah dijangkanya.
“Terkejut, sebelum ini kalau ada pertukaran, kita akan boleh jangka. Ada hint (bayangan), ada kiasan dan maklumat dalaman dan selalunya cukup masa yang diberi untuk transisi besar dalam hidup kami.
“Dua minggu? Tentunya satu kepuasan yang sukar diterima di saat anak seni rata-rata berdepan dengan kekangan tidak boleh bekerja. Khidmat saya sebagai pengacara Melodi seolah-olah terhenti begitu sahaja,” katanya lagi.
Dalam pada itu, suami kepada pelakon Scha Alyahya itu juga tidak dapat menyembunyikan rasa ralat terhadap apa yang berlaku.
“Ralat. Itulah ungkapan yang paling tepat buat masa ini. Ralat sempat tak sempat balik ke set Melodi untuk episod terakhir.
“Ralat tak dapat jumpa team (pasukan) Melodi yang dah macam keluarga sendiri. Ralat sebab tak sempat sign off (undur diri) program kesayangan saya ini,” tulisnya lagi.
Pada hantaran sama, Awal turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih atas sokongan tidak terhingga peminat selama lapan tahun mengendalikan program Melodi.
“Terima kasih tidak terhingga. Saya minta maaf sekiranya ada salah silap sepanjang mengendalikan Melodi.
“Dari kecik saya tengok Melodi, kesemua idola saya pernah mengacarakan program ini dan bila saya dapat mengacarakan, ia satu pengiktirafan yag cukup besar buat saya,” ujarnya.
Pada minggu lalu, desas-desus mengenai pertukaran pengacara Melodi mula bertebaran apabila Awal ada memuat naik status seakan-akan bayangan dirinya ditamatkan perkhidmatan sebagai pengacara program berkenaan. – KopiPlanet.com
The post Selepas Lebih Setahun, Awal Ashaari Akhirnya Sah Tinggalkan Rancangan Melodi, Ralat Diberi Notis Dua Minggu appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: