Anuar Zain Ubati Kerinduan Peminat Dengan Single Baharu Sendiri
Biarpun dengan kemunculan ramai penyanyi sekarang ini, namun nama Anuar Zain masih kekal utuh lebih tiga dekad dalam industri seni tanah air.
Bagi mengubati kerinduan peminat-peminat yang ingin menyaksikan dirinya tampil dengan karya baharu, kini Anuar merealisasikannya menerusi single Sendiri yang baru sahaja dilancarkan.
Bekerjasama dengan komposer tersohor, Farouk Roman, dan penyanyi meningkat naik, Aisha Retno selaku penulis lirik, magis jelas tercipta dalam Sendiri.
Dengan gabungan penyanyi senior dan generasi baharu itu tidak dinafikan menjadi kelebihan nyata untuk karya ini. Paduan perspektif berbeza mereka tentu sekali melayangkan lagu ini ke tahap lebih tinggi.
Anuar berkata, keaslian dan keikhlasan luhur Farouk dan Aisha dalam karya ini amat dia kagumi.
“Kekuatan lagu ini adalah pada melodi dan liriknya yang ringkas serta mudah berhubung kait. Secara keseluruhannya lagu ini sangat baik dan bahagian yang paling saya suka adalah pra korusnya. Selepas mendengarnya sekali, saya sungguh tertarik dengan lagu ini. Kali kedua mendengarnya pula, melodi dan liriknya terus melekat di hati saya.
“Lagu Sendiri adalah amat tepat dengan jiwa saya. Karya Farouk dan Aisha datang dari dalam sanubari mereka dan inginkan sesuatu yang berkualiti. Sekali gus dapat memberikan halwa telinga yang baik buat penggemar muzik tanahair. Mereka adalah pengkarya muzik yang sangat cemerlang, ikhlas, dan teliti didalam penghasilan lagu,” katanya.
Selain itu, Sendiri juga turut dipilih sebagai lagu tema drama Single Terlalu Lama arahan Ungku Ismail Aziz yang turut membintangi drama terbitan Radius One Sdn. Bhd.
Dalam pada itu, Anuar turut meluahkan rasa teruja setelah lama tidak ke studio rakaman untuk merakamkan lagu baharu.
“Sesi rakaman berjalan dengan santai dan sangat menyeronokkan. Kami berkerjasama didalam keadaan yang harmoni. Kami bertukar-tukar pandangan mengenai bagaimana lagu ini harus disampaikan sebaiknya produser vokal, Afif Tirmizie, Farouk Roman, dan Aisha Retno.
“Masing- masing begitu prihatin bagaimana lagu Sendiri harus disampaikan sebaiknya. Berpeluang mengenali hati budi masing-masing sewaktu rehat, tanpa disedari, kami sudah berborak selama lebih tiga jam. Banyak perkara dan pengalaman yang dikongsikan antara kami,” katanya.
Versatiliti nyanyian Anuar semestinya tidak perlu dipertikaikan lagi. Gemersik suaranya menyanyi balada, tenaga suaranya cukup elastik untuk lagu rancak, pendek kata, semua mampu disapunya dengan mudah.
Untuk lagu Sendiri, Anuar berkata dia cuma harapkan ia mampu melonjakkan kegembiraan dalam diri pendengar.
“Saya harapkan agar penggemar muzik tanahair menikmati buah tangan daripada kami ini. Kali ini, saya pertaruhkan lagu berentak sederhana rancak.
“Semoga mereka boleh menikmati karya terbaru ini dengan perasaan yang gembira, menikmati setiap bahagiannya, serta mampu kaitkannya dengan kehidupan mereka.
“Tidak ketinggalan, semestinya saya mengharapkan karya ini akan beroleh kejayaan serta dapat membawa industri muzik kita tahap yang lebih tinggi. Jutaan tahniah buat Farouk Roman, Aisha Retno, Bajai (penggubah muzik), Afif Tirmizie (produser vokal), Fadly (jurutera bunyi), dan Sony Music Malaysia atas kerjasama yang sangat baik,” katanya.
Sendiri boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music. – KopiPlanet.com
The post Anuar Zain Ubati Kerinduan Peminat Dengan Single Baharu Sendiri appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: