Album Baharu Khai Bahar, Zikir Damba Ketenangan Habis Dijual Dalam Masa Tiga Hari
Sokongan padu peminat terhadap kerjaya Khai Bahar telah meletakkan anak jati kelahiran Kangar, Perlis itu antara penyanyi muda yang berjaya dan berada di kelas tersendiri.
Ini dibuktikan apabila setiap kali Khai, 27, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin muncul dengan single baharu, ia pasti mendapat sambutan hebat selain berada dalam kedudukan teratas carta.
Selain mencuri tumpuan menerusi lagu balada, suara Khai juga membuatkan hati peminat ‘cair’ setiap kali dia menyanyikan lagu nasyid.
Selepas muncul dengan lagu Setanggi Syurga 2020 kolaborasi bersama kumpulan nasyid popular Inteam tahun lalu, kini Khai memberikan buah tangan istimewa buat seluruh peminat tercinta iaitu album Zikir Damba Ketenangan.
Boleh dikatakan penerbitan album Zikir Damba Ketenangan oleh syarikat rakaman 17 Eleven Music diibaratkan sebagai hadiah buat mereka yang sudah lama menantikan dia muncul dengan lagu ketuhanan dan zikir.
Menariknya, album yang mula dijual secara pra tempahan di Shopee sejak 5 April lalu habis terjual selama tiga hari berturut-turut.
Dalam album tersebut ia memuatkan lima zikir dan satu lagu penuh berjudul Perpisahan ciptaan sepenuhnya Rudy Nastia, Shamin Nazri dan Adi Pawana.
“Album ini saya dan Dr Azrul sudah rancang lama, di mana memang nak keluarkan pada bulan Ramadan. Alhamdulilah, tahun ini terlaksana juga.
“Sebelum dilancarkan secara rasmi, syarikat penerbitan buka pra tempahan dulu. Pada hari pertama sebanyak 100 unit habis terjual. Hari kedua pun. Pada hari ketiga mereka tambah 200 unit pula dan semuanya habis. Syukur alhamdulillah,” ujarnya.
Khai berkata, sejujurnya dia tidak meletakkan sebarang sasaran berkenaan unit jualan selagi ada permintaan.
Jelasnya, bagi album digital pula, dijangkakan dalam bulan Ramadan ini sudah boleh dilanggan oleh peminat.
Lima zikir yang dimuatkan adalah, Hasbi Rabbi Wa Nabiy, Astaghfirullah, Hasbunallah , La Ilaha Illallah dan Ya Zal Jalali Wal Ikram.
Berkongsi mengenai cabaran mengalunkan zikir dalam album itu, Khai yang kini terbabit dalam drama Kisah Cinta Rumi berkata, dia perlu berhati-hati dalam setiap sebutan.
“Cabarannya adalah, saya ada masalah nak sebut dengan makhraj yang betul. Apabila zikir ini nak dirakam dan diterbitkan, jadi saya kena sebut dengan betul. Salah sebut, maksud lain pula. Sebab itu kena berhati-hati.
“Alhamdulillah, saya banyak dibantu oleh Dr Azrul sepanjang proses rakaman. Dia yang memantau sebutan saya. Sebelum ini lagu Melayu, tidak ada masalah. Tapi apabila membabitkan sebutan perkataan Arab, memang ambil masa juga nak rakam. Tanda baca kena betul,” katanya.
Ditanya mengenai ‘bonus track’ lagu Perpisahan dalam album itu, Khai berkata ia adalah lagu ketuhanan yang mengajak semua orang untuk ingat kematian.
“Kenapa Perpisahan sebab saya nak kita semua sentiasa ingat kepada kematian. Bukan saja saya yang menyanyikan lagu ini, tapi semua tanpa mengira usia, pangkat, darjat, kedudukan atau status.
“Saya fikir, sebagai manusia biasa pengakhiran kira tetap sama iaitu kematian. Cuma, bila dan bagaimana hanya Allah saja yang tahu. Disebabkan itu, dalam lagu ini ia memberi peringatan kepada kita. Dalam masa sama, lagu ini sangat sesuai untuk Ramadan ini,” katanya.
Sementara itu, komposer lagu Perpisahan, Dr Azrul berkata, lagu itu sebenarnya untuk mengingatkan diri sendiri dan semua orang bahawa kematian itu pasti dan boleh datang pada bila-bila masa.
“Saya bertanya dan minta pandangan Khai di mana nak buat lirik lagu ini mengenai mati. Khai terus cakap bagus sebab boleh ingat mati. Jadi, dari situlah permulaan bagaimana lirik ini terhasil selepas saya kehilangan ayah dan sahabat, Fadly.
“Saya terfikir diri ini banyak dosa. Kalau meninggal dalam keadaan lupa Tuhan, tak taulah macam mana di akhirat nanti. Pendek kata, lagu ni sebenarnya untuk mengingatkan diri sendiri dan semua orang bahawa kematian itu pasti dan boleh datang pada bila-bila masa. Sudahkah kita bersedia?” katanya.
Video muzik lagu Perpisahan sudah ditayangkan di saluran YouTube Seventeen Eleven Music sejak 7 April lalu. – KopiPlanet.com
The post Album Baharu Khai Bahar, Zikir Damba Ketenangan Habis Dijual Dalam Masa Tiga Hari appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: