Ads Top

3 Cara Mencari Tahu Apa Yang Anda Inginkan

Apa yang anda benar-benar inginkan dalam hidup? Persoalan ini mungkin pernah berlegar di pemikiran anda bahkan sehingga kini juga anda mungkin tertanya diri anda, apa sebenarnya yang anda mahukan?

Cuba imbas kembali, sewaktu kecil, anda pasti punya cita-cita pertama dalam diri anda dan kebiasaannya, kajian menunjukkan bahawa cita-cita itu boleh datang hasil daripada pengaruh orang yang terdekat dengan anda.

Sebagai contoh, anda melihat ibu anda yang merupakan seorang guru yang sangat dikagumi ramai atau ayah anda seorang anggota polis yang sentiasa membantu memberi keselamatan kepada orang sekeliling, maka anda juga cenderung untuk berkeinginan menjadi seperti mereka.

Namun, seiring dengan perkembangan masa, cita-cita itu juga akan berubah jika anda berjaya menemukan apa sebenarnya yang anda ingin jadi.

Tetapi, ada dalam kalangan manusia yang masih lagi mencari-cari impian sebenar mereka. Perkara ini boleh datang mungkin akibat dari rasa tidak yakin dengan diri sendiri atau tidak bahagia dengan apa yang dilakukan.

Namun, bagaimana sebenarnya untuk mengetahui apa sebenarnya yang anda ingin jadi?

Menurut sebuah perkongsian yang telah diberikan oleh Ashley Stahl, salah seorang jurucakap dan juga career coach di Amerika melalui rancangan TedTalk menyebut, ada tiga cara yang boleh diambil pendekatan untuk mengetahui apa sebenarnya yang anda ingin lakukan.

#1 – Buat Audit Diri

Buat self-audit dengan jujur terhadap diri sendiri. Di mana anda sekarang? Apa manfaat yang anda dapat daripada pelajaran hidup sekarang? Dan pelbagai lagi soalan yang anda boleh tanyakan mengenai diri anda dan kehidupan sekarang.

Kita mengambil contoh apabila hendak melintas jalan, pastinya anda akan melihat ke arah kiri dan kanan terlebih dahulu untuk memastikan keadaan selamat. Apabila sudah selamat, barulah anda akan melintas jalan untuk menuju ke arah destinasi tersebut.

Begitulah dengan setiap keputusan yang ingin diambil dalam kehidupan ini, pastinya ia memerlukan timbang tara terhadap jalan keselamatan yang akan anda ambil.

Dan timbang tara itu, sudah tentulah anda sendiri yang mampu melihatnya dan sejauh mana ia boleh memberi kesan kepada diri anda.

Yang paling penting, anda perlu semat pada pemikiran bahawa setiap timbang tara dan jalan keselamatan yang dipilih adalah di bawah tanggungjawab anda.

Jadi, lakukan keputusan yang boleh menjadikan anda seorang yang bertanggungjawab dan bahagia dengan perkara tersebut.

#2 – Ikut Apa Yang Terbaik

Langkah yang kedua adalah dengan mengambil langkah tersebut. Tanya diri anda lama-lama tanpa diambil sebarang tindakan juga adalah tidak realisitik.

Anda sendiri yang perlu mengambil keputusan tersebut dan mengatur langkah yang terbaik untuk diri anda. Langkah yang paling penting dalam mengambil keputusan adalah melakukan apa yang anda rasakan yang terbaik untuk anda.

Dengan itu, diri anda sendiri yang akan mudah merasakan kebebasan kerana anda tidak terikat kepada perkara yang tidak digemari sebaliknya, keputusan itu datang dari diri anda sendiri.

#3 – Hubungkan Diri Anda Dengan Perbuatan Itu

Apabila rasa tanggungjawab itu muncul, ia bermaksud anda telah meletakkan hati anda pada keputusan yang dilakukan. Dengan itu, anda sendiri boleh membuka mata dan melihat sejauh mana anda suka akan perkara tersebut.

Ia adalah peluang untuk anda memberi semula kepada masyarakat. Memberi di sini adalah dengan menyumbang ke arah yang lebih baik. Kadang-kadang, keputusan yang dilakukan bukanlah untuk diri sendiri sahaja tetapi juga untuk manfaat sekeliling.

Kesimpulan

Pada akhir ucapan Ashley Stahl, beliau menyebut bahawa setiap dari kita mempunyai peluang untuk melakukan u-turn dalam hidup ini. Namun, jangan jadikan peluang tersebut sebagai satu perkara yang sia-sia atau anda memandangnya sebagai sambil lewa kerana mungkin pada saat anda menyedarinya, ia telah terlambat.

Pilihan yang anda lakukan hari ini akan menjadikan siapa anda pada lima tahun akan datang. Justeru, lakukan pilihan yang tepat dalam diri anda serta carilah apa yang benar-benar anda ingin lakukan.

Sumber:
How To Figure Out What You Really Want by Ashley Stahl

The post 3 Cara Mencari Tahu Apa Yang Anda Inginkan first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.