WORLD #QuranHour – Gemakan Surah Ar-Rahman 12 Tengah Hari Ini
WORLD #QuranHour ialah sebuah kempen yang mempromosikan budaya membaca Al-Quran ke segenap lapisan masyarakat merentas negara dan budaya.
Kempen ini sudah bermula sejak tahun 2016 lagi, dibawah anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF). Ia pernah dijalankan di lokasi utama, iaitu Masjid Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mengumpulkan kira-kira 4,000 peserta dan beratus lagi lokasi di seluruh Malaysia melibatkan umat Islam dari pelbagai negara.
Dalam kempen ini, umat Islam akan meluangkan masa selama satu jam untuk membaca dan menghayati bacaan Al-Quran bersama-sama secara serentak dari seluruh dunia.
Bersempena bulan Ramadan, sekali lagi ia akan diadakan pada hari ini dari jam 12.00 higga 1.00 tengah hari dan akan disiarkan secara langsung di TV Alhijrah, RTM, Bernama TV dan Astro Oasis. Selain itu, bagi yang mengikuti secara atas talian boleh terus ke laman Facebook Sinar Harian, World Quran Hour atau TV AlHijrah.
Walaupun penganjurannya pada kali ini secara digital ekoran penularan pandemik COVID-19, orang ramai masih boleh mengikuti dari rumah atau ruang kerja masing-masing sambil bersedia dengan Al-Quran terjemahan – surah yang menjadi pilihan kali ini adalah Surah Ar-Rahman.
Anjuran kempen ini juga bertujuan memupuk solidariti bersama. Orang ramai boleh mengambil gambar sendiri atau bersama keluarga dan rakan kerja (sambil memastikan penjarakan sosial) dan muat naik ke media sosial dengan meletakkan tanda pagar World #QuranHour.
Bersama-sama kita doakan keharmonian global dengan kalam dari Ar-Rahman. Kita gemakan Surah Ar-Rahman dari Malaysia & Indonesia ke seluruh dunia!
No comments: