Surah An-Nasr Turun Tanda Kewafatan Nabi SAW Sudah Dekat
Kita baru sahaja menyambut Nuzul Al-Quran pada 17 Ramadan, beberapa hari yang lalu bagi mengingati peristiwa istimewa yang telah berlaku kepada baginda Nabi SAW iaitu penurunan ayat Al-Quran buat kali pertama kepada baginda di Gua Hira’.
Namun, tahukah para pembaca semua, ada satu lagi peristiwa besar yang juga berlaku pada bulan Ramadan iaitu Fathu Mekah atau penaklukan Mekah di mana Rasulullah SAW dan kaum Muslimin akhirnya berjaya menguasai Mekah semula selepas peristiwa Hijrah ke Madinah.
Menurut catatan sejarah, Nabi SAW dan pasukan kaum Muslimin telah keluar dari Madinah menuju Mekah pada tanggal 10 Ramadan. Tindakan ini diambil ekoran pelanggaran perjanjian Hudaibiyyah yang telah dilakukan Bani Bakar dan pihak Quraisyh ke atas Bani Khuza’ah yang berpihak kepada Nabi SAW.
Surah An-Nasr Diturunkan Sempena Peristiwa Ini
Apa yang menarik, kisah ini dikaitkan dengan satu surah yang turun sempena peristiwa tersebut iaitu Surah An-Nasr.
“Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong, maka bertasbihlah dengan memuji Rabbmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.” (Surah An-Nashr 110:1-3)
An-Nasr bermaksud pertolongan manakala perkataan Fath dalam surah ini bermaksud Fath Mekah (penaklukan Kota Mekah) menurut Al-Hafiz Ibnu Katsir.
Para ulama tafsir menyepakati bahawa surah ini telah diturunkan di Madinah, dan menurut Al-Wahidi dalam Asbab Al-Nuzul (sebab penurunan) surah ini diturunkan ketika Nabi SAW dalam perjalanan pulang dari Perang Hunain, iaitu pada bulan Syawal tahun ke-8 Hijrah, iaitu selepas penaklukan Kota Mekah.
Diceritakan bahawa selepas sahaja peristiwa penaklukan tersebut, berduyun-duyun orang masuk Islam bahkan diceritakan bahawa pembesar-pembesar Arab ketika itu begitu bangga dengan keislaman mereka. Selama dua tahun, hampir seluruh jazirah Arab beriman.
Sebahagian besar ulama berpendapat bahawa inilah surah terakhir yang diturunkan kepada Nabi SAW. Sebagaimana hadis riwayat Muslim, dari jalur Ubaidullah bin ‘Abdillah bin ‘Utbah berkata bahawa Ibnu ‘Abbas R.anhuma bertanya kepadanya;
“Apa engkau tahu surah terakhir turun dari Al-Quran secara utuh?”
Ubaidullah berkata, “Ya tahu, iaitu surah ‘Idza jaa-a nashrullahi wal fath’ (Ketika pertolongan Allah itu datang dan kemenangan).”
Ibnu ‘Abbas menjawab, “Engkau benar” (HR. Muslim, no. 3024)
Surah An-Nasr Turun, Tanda Nabi Akan Meninggalkan Umat Baginda
Surah ini juga dipanggil ‘Al-Tawdi’ yang bermaksud selamat tinggal.
Berkait dengan alasan surah ini dipanggi ‘Al-Tawdi’, terdapat riwayat yang menarik dalam Sahih Tafsir Ibn Kathir.
Umar al-Khattab pernah membawa Abdullah bin Abbas, seorang sahabat Rasulullah yang masih muda menyertai suatu majlis ilmu yang disertai oleh sahabat-sahabat lain yang sudah berusia untuk berbincang tentang Surah An-Nasr.
Umar bertanya, “Bagaimana pendapat kalian semua tentang surah ini?”
Lalu sebahagian daripada mereka menjawab bahawa ayat tersebut memerintahkan agar memuji Allah, meminta keampunan dariNya ketika diberi pertolongan dan kemenangan.
Umar kemudian bertanya kepada Abdullah bin Abbas, “Wahai Ibnu Abbas, beginikah kamu menafsirkan ayat tadi?”
Lalu Ibnu Abbas memberikan jawapan yang sungguh jauh berbeza daripada yang lain.
“Surah tersebut adalah petanda kewafatan Rasulullah SAW sudah dekat”, dan jawapan yang diberikan itu turut dipersetujui Saidina Umar Al-Khattab.
Abdullah bin Abbas pernah didoakan oleh Nabi SAW ketika kecil agar diberikan kefaqihan dalam agama dan kemampuan untuk mentakwil sesuatu perkara. Doa tersebut menjadi kenyataan dan kebijaksanaannya turut terserlah melalui kisah ini.
Akhir sekali di penghujung Surah An-Nasr ini, Allah turut mengingatkan supaya sentiasa memuji dan beristighfar meminta keampunan kepada Allah meskipun sedang mendapat nikmat.
Antara zikir yang boleh dibaca ialah;
“Subhanallah wa bi hamdihi, Astaghfirullah wa atuubu ilaih”
(Maha suci Allah dan dengan memujiNya, aku memohon keampunan kepada Allah dan aku bertaubat kepadaNya)
Zikir ini turut dilazimi oleh Rasulullah SAW sebelum baginda meninggal dunia.
Demikian kisah besar yang terabadi di sebalik sebuah surah yang pendek ini. Turunnya surah ini menandakan risalah kenabian yang disebarkan oleh Rasulullah SAW telah sempurna.
Kini yang ditinggalkan hanyalah Al-Quran dan sunnah baginda – dua harta berharga yang jika dijadikan pegangan dalam hidup maka kita akan menang selama-lamanya, di dunia dan di akhirat, InsyaAllah.
Rujukan:
Rumaysho.com
No comments: