Kunyah Gula-Gula Getah ketika Puasa – Apakah Hukumnya
Pembuatan gula-gula getah moden telah dipelopori oleh John B Curtis pada tahun 1884 dengan jenama State Mine Pure Spruce Gum.
Gula-gula getah juga telah mula popular di seluruh dunia sekitar perang dunia pertama kerana kebanyakan tentera Amerika ketika itu dibekalkan dengan gula-gula getah.
Menurut penyelidikan yang telah dilakukan oleh Institut Sains Radiologi Jepun telah menyebut bahawa sekurang-kurangnya lapan tempat pada otak manusia boleh mendapat kebaikan daripada aktiviti kunyahan gula-gula getah tersebut.
Professor Andy Smith berkata, mengunyah gula-gula getah mampu meningkatkan persembahan kognitif individu sekali gus membantu tahap kewaspadaan yang menjana kawalan motor.
Disebabkan itu, hari ini kita melihat ramai yang mengambil inisiatif untuk berhenti daripada tabiat merokok dengan mengunyah gula-gula getah.
Kajian menunjukkan bahawa ia merupakan salah satu teknik yang berkesan ke atas individu yang sedang berusaha untuk berhenti merokok.
Bukan itu sahaja, banyak jenama gula-gula getah yang diwujudkan untuk membantu menghindarkan mulut daripada berbau. Bagi mereka yang mempunyai jadual yang padat, tidak perlulah menggosok gigi setiap masa jika mempunyai masalah mulut berbau. Cukup dengan mengunyah gula-gula getah.
Namun, bolehkah mengunyahnya ketika anda sedang berpuasa? Hal ini kerana, gula-gula getah tersebut tidak ditelan sebaliknya hanya dikunyah begitu sahaja.
Perlu dilihat di sini, hukum asal mengunyah sesuatu tanpa menelannya adalah makruh. Adalah lebih baik (sunat) untuk meninggalkannya.
Namun, jika kunyahan tersebut mencair atau bahannya bercampur dengan air liur kemudian ditelan air liur tersebut, maka batal puasanya.
Maka, dalam hal ini, mengunyah gula-gula getah yang boleh menyebabkan bahannya mencair (perisanya dapat dirasa) dan ditelan, maka batal puasa seseorang itu.
Adalah lebih baik untuk meninggalkan perbuatan tersebut dan menggantikan teknik menghindari mulut berbau dengan menggosok gigi sahaja. Ia adalah cara yang lebih selamat untuk menjaga ibadah puasa kita.
Wallahu a’alam.
Sumber:
Mufti Brunei
No comments: